Pokok-pokok pisang di Desaru Fruit Farm dimusnahkan gajah liar.

KOTA TINGGI- Pengurusan agro pelancongan, Desaru Fruit Farm di Bandar Penawar di sini, semakin bimbang dengan ancaman gajah liar yang sering berulang sejak pertengahan Februari lalu hingga mengakibatkan kerugian RM100,000.

Pengarah Urusannya, Steve Er berkata, dalam kejadian terbaharu, kebunnya yang seluas 56 hektar diceroboh lagi oleh sekumpulan gajah liar.

Lebih membimbangkan kejadian itu sering berlaku pada waktu malam hingga awal pagi di kebunnya yang terletak berhampiran Sungai Cemaran di sini.

Kejadian itu memusnahkan tanaman seperti pisang nipah, kepala pandan, jambu air dan pokok buah abiu.

“Saya rasa habitat mereka diganggu ataupun mereka kelaparan hingga kumpulan gajah dipercayai antara empat hingga lapan ekor gajah mengancam kebun dan semakin menghampiri premis operasi kami.

“Setakat ini, kira-kira RM100,000 dan kejadian berulang ini menjejaskan operasi kami.

“Selain berkeliaran di Desaru Fruit Farm yang sudah diusahakan 28 tahun ini, kami difahamkan tujuh pengusaha kebun sekitar kawasan ini juga terjejas teruk apabila tanaman mereka dirosakkan,” katanya pada sidang media di Desaru Fruit Farm di Bandar Penawar hari ini.

Kerosakan yang berlaku di Desaru Fruit Farm angkara gajah liar.

 

 

Steve berkata, beliau sendiri pernah menemui tapak kaki sebesar 30 sentimeter dan najisnya.

Selain membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Penawar pada 24 Mac lalu, pihaknya turut melaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Pertanian Daerah Kota Tinggi supaya perkara berkenaan diberi perhatian.

“Agensi kerajaan membuat tinjauan di kawasan ini selepas kami membuat aduan namun kami mengharapkan tindakan sesuai termasuk memindahkan gajah ke habitat asal.

“Kami juga tidak akan mengambil tindakan menyalahi undang-undang dan berharap permasalahan ini diberi perhatian serius sebelum nasi menjadi bubur,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pertanian Daerah Kota Tinggi Noorfarahin Sahari berkata, hasil siasatan didapati sebanyak 918 pokok pisang, 120 pokok kelapa pandan dan 216 pokok jambu air dirosakkan sekumpulan gajah di Desaru Fruit Farm.

Beliau turut menasihati pengusaha kebun lain yang terjejas supaya membuat aduan serta mengisi borang bancian kerosakan bagi membolehkan pihaknya membuat penilaian dan menyalurkan bantuan.

“Kami akan berusaha meringankan beban pengusaha terjejas dengan menyalurkan bantuan peralatan sokongan insentif,” katanya. – MalaysiaGazette