Ageha Matsuzaki (baju hijau) hadir di Mahkamah Petaling Jaya untuk didakwa atas kesalahan membuat laporan polis palsu disamun dan dirogol bergilir-gilir oleh lima lelaki Afrika Taman Serdang Perdana, awal bulan lalu. Foto AFFAN FAUZI, 24 MAC 2022.

PETALING JAYA – Tindakan seorang wanita warga Jepun yang membuat laporan palsu kononnya disamun dan dirogol bergilir-gilir oleh lima lelaki Afrika mengundang padah apabila dia didenda oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Muhammad Iskandar Zainol menjatuhkan hukuman denda maksimum RM2,000 terhadap tertuduh, Ageha Matsuzaki, 20, selepas gadis itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Inggeris terhadapnya.

Sekiranya gagal membayar jumlah denda itu, dia boleh dipenjara selama dua bulan.

Tertuduh membayar jumlah denda tersebut.

Mengikut fakta kes, penuntut kolej swasta itu mendakwa dirinya menjadi mangsa samun dan rogol di tepi jalan SP 5/4, Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan pada 1 Februari lalu.

Ekoran laporan yang dibuat di Balai Polis Seri Kembangan itu, pegawai penyiasat  menjalankan siasatan dan hasil laporan perubatan menunjukkan tiada kesan rogol berlaku terhadapnya.

Hukuman atas laporan palsu itu membolehkan dia dihukum penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Wafi Husain memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh kerana membebankan banyak pihak terutama pihak polis.

“Tertuduh hanya mengaku membuat laporan palsu selepas dua minggu pegawai penyiasat menjalankan siasatan,” kata Mohamad Wafi.

Bagaimanapun,  peguam Mustaqeem Aziz meminta hukuman diringankan memandangkan anak guamnya masih muda dan telah menginsafi perbuatan tersebut.

Bagaimanapun, mahkamah tetap menjatuhkan hukuman denda maksimum kepada tertuduh di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana tertuduh menyusahkan pelbagai pihak. – MalaysiaGazette