Gambar hiasan

TAHUN ini, sekali lagi kita menyambut Hari Air Sedunia yang disambut setiap tahun pada 22 Mac 2022. Sebagaimana tahun – tahun sebelumnya sambutan Hari Air Sedunia cukup penting dalam membawakan isu-isu dan penyelesaian berkaitan sumber air.
Air merupakan sumber khazanah semulajadi bumi. 71% daripada bumi kita adalah diselaputi air. Akan tetapi hanya 3% daripada 71% adalah air tawar yang boleh diminum.

Ini menunjukkan bahawa jumlah air tawar yang boleh diakses 7.9 billion manusia di bumi ini adalah sangat terhad. Tahukah anda bahawa hampir semua air tawar di dunia ini adalah air bawah tanah?

Tema Hari Air Sedunia 2022, “Groundwater: Making the invisible visible” memberi kesedaran kepada kita bahawa pentingnya kita memelihara dan memulihara sumbar air kita agar kita tidak hilang sumber yang penting bagi kehidupan ini.

Dengan faktor pemanasan global yang membawa kepada masalah cuaca yang tidak menentu termasuk kemarau, ini secara tidak lansung akan menyebabkan kita kehilangan sumber air kita termasuk air bawah tanah.

Maka, adalah penting bagi kita menjaga alam sekitar dan sumber air kita dengan sebaiknya seperti mengelakkan pencemaran sumber air, meningkat kan kesedaran di kalangan masyarakat dan menyertai program komuniti menjaga alam sekitar dan sumber air kita.

Jika dilihat di Malaysia, kita diberkati dengan akses air tawar yang mencukupi setakat ini. Ini adalah kerana negara kita mempunyai jumlah sungai yang agak banyak untuk menampung keperluan air negara.

Dengan kemudahan akses harian air yang diterima rata-rata penduduk di Malaysia, kita sering lupa dan mengambil ringan terhadap fakta bahawa bekalan air tawar ini adalah terhad. Kadar penggunaan air per kapita di Malaysia buat masa ini adalah lebih kurang 200 liter iaitu 27% lebih tinggi dari yang ditetapkan pada 165 liter sehari.

Maka, adalah penting kita berjimat cermat dalam menggunakan air bagi memastikan kelestrian air kita.

Akhir kalam, tanggungjawab memberi kesedaran kepada masyarakat terutama golongan belia perlu dipikul oleh semua pihak agar kelestarian bekalan air negara kita sentiasa berada pada tahap optimum.

 

Fatin Fariza Ab Halim
Persatuan Wira Air (Water Heroes Society)