Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN – Laporan bedah siasat kematian kanak-kanak 11 tahun di sebuah rumah kebajikan di sini baru-baru ini bukan disebabkan kesan dicekik.

Sebaliknya, punca kematian mangsa akibat hentakkan kepala, kata Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf.

”Ada laporan sebelum ini laporan dicekik dan sebagainya namun itu bukanlah punca kematian,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan pelajar darjah 5 tersebut meninggal disebabkan dicekik oleh pelajar senior yang berusia 16 tahun.

Ramli berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan kes yang melibatkan suspek seorang remaja yang di bawah umur.

Tambahnya, memandang  kes ini melibatkan kanak-kanak, polis tidak boleh mengulas lanjut dan siasatan masih diteruskan.

Ramli berkata, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dia masih direman sehingga 27 Mac ini.

Dalam tragedi menyayat hati pada 20 Mac lalu, mangsa dilaporkan dicekik, disepak dan dihempas oleh mangsa di atas lantai sehingga tidak sedarkan diri.

Kejadian itu tercetus apabila suspek dikatakan telah menegur mangsa ketika mereka melakukan aktiviti gotong-royong membersihkan surau asarama berkenaan.

Warden menyedari mangsa masih bernyawa bergegas membawa mangsa ke  Hospital Tengku Ampuan Afzan, (HTAA) untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal semasa menerima rawatan.

Mangsa selamat dikebumikan pada 22 Mac lalu. – MalaysiaGazette

Kanak-kanak 11 tahun maut dicekik kerana duit RM4