PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

SEREMBAN – Mayat wanita yang ditemukan di dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah di sini, Ahad lepas dipercayai ditinggalkan di lokasi terbabit bagi menyorokkan kematiannya.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, ia berdasarkan hasil siasatan pihaknya setakat ini susulan penahanan tiga suspek sebelum ini.

“Walaupun menyorok kematian, kesalahan itu tetap disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Punca sebenar kematian masih dalam siasatan tetapi difahamkan mangsa menghidap COVID-19 semasa kematian.

“Kita akan tunggu perkembangan siasatan seterusnya bagi memastikan punca kematian sebenar dan apakah pertuduhan sewajarnya diberikan kepada tiga individu yang telah ditahan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 peringkat Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Pada Rabu lepas, dua lelaki masing-masing berumur 41 dan 44 tahun, serta seorang wanita berumur 18 tahun direman tujuh hari hingga 29 Mac bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurut Mohamad, tiga individu berkenaan juga merupakan ahli keluarga mangsa.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya empat individu termasuk ahli keluarga lain dan jiran terdekat di kawasan berkenaan akan dipanggil untuk memberi keterangan.

“Sebab kita dapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Jadi kita akan terus siasat dan mengenal pasti sebab kematian dan punca kejadian itu boleh berlaku,” katanya.

Pada 20 Mac lepas, mayat wanita tanpa identiti itu ditemukan dalam keadaan tertiarap dan laporan bedah siasat mayat itu telah dihantar ke Jabatan Kimia bagi pengesahan punca kematian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata, kertas siasatan berhubung kes kematian kanak-kanak perempuan berusia setahun tiga bulan, Nour Rania Asyifaa Yuseri telah dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, tindakan bapa mangsa yang menularkan kes itu dalam media sosial tidak boleh dijadikan bukti forensik kerana perkara yang diperkatakan hanyalah anggapannya sahaja.

“Polis jalankan siasatan secara menyeluruh dengan bantuan forensik bukan sahaja secara individu. Harap keluarga bertenang dan jangan keluarkan kenyataan yang timbulkan salah faham orang ramai,” katanya.

Pada 22 Februari lepas, Nour Rania Asyifaa dipercayai tersangkut pada kain buaian ketika sedang tidur di pusat jagaan dan disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Sendayan oleh pegawai perubatan pada pukul 4.30 petang, selepas pengasuh kanak-kanak itu membawanya ke klinik untuk rawatan. – Bernama