Ab Rauf (tengah) melihat pameran selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2026 Peringkat Kebangsaan di Banda Hilir, Melaka, hari ini.

MELAKA – Melaka kini dilihat sebagai arkitek kepada inovasi ekonomi hijau menerusi agenda pembangunan mampan dan transformasi hijau yang semakin diperkukuh kerajaan negeri.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, perkembangan itu turut meletakkan ia antara negeri yang memperlihatkan komitmen terhadap pembangunan berteraskan kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata, Melaka bukan sahaja dikenali sebagai negeri warisan, malah sedang memacu agenda pembangunan mampan dan transformasi hijau menerusi pelbagai inisiatif.

“Melaka hari ini adalah arkitek kepada inovasi ekonomi hijau, merintis pembangunan sustainable biomass hub (hab kemampanan biomas), meluaskan penggunaan tenaga solar dan mentransformasi urus tadbir alam sekitar menggunakan teknologi pendigitalan melalui Smart Melaka Blueprint.

“Agenda menjadikan Melaka sebagai Green Champion State turut dipasakkan dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035), sekali gus menunjukkan iltizam negeri dalam memacu pembangunan yang lebih mampan,” katanya.

Arthur ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2026 Peringkat Kebangsaan di Melaka, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Kebangsaan 2026  yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Banda Hilir di sini hari ini.

Arthur berkata, pemilihan Melaka sebagai tuan rumah HASN peringkat kebangsaan tahun ini bukan sekadar pusingan giliran, sebaliknya satu pengiktirafan yang bertepatan dengan perkembangan agenda kelestarian negeri itu.

“Di bawah nakhoda kepimpinan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, kita menyaksikan bagaimana iltizam politik dan keberanian memacu perubahan telah menterjemahkan kelestarian kepada realiti.

“Visi luhur untuk memposisikan Melaka sebagai Green Champion State yang dipasak teguh ke dalam teras PSMJ 2035 adalah satu pencapaian yang patut dijadikan penanda aras oleh seluruh negara,” katanya.

Ab Rauf menyempurnakan simbolik perasmian pada Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2026 Peringkat Kebangsaan di Melaka, hari ini.

 

Beliau berkata, Melaka turut mengemudi pelaburan berteraskan piawaian ESG (persekitaran, sosial dan tadbir urus) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan ekonomi hijau.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, HASN adalah cermin untuk rakyat menyoal diri tentang bumi, tentang bagaimanakah
yang mahu rakyat tinggalkan buat generasi hadapan.

“Penjagaan alam sekitar bukan beban tunggal kementerian semata-mata.

“Sebaliknya, ia juga adalah amanah kolektif Kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), industri, komuniti sehinggalah kepada setiap individu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here