Warga Bangladesh mati dihempap tong pasir di tapak binaan pinggiran subang pagi tadi.Gambar Ihsan Bomba Selangor.

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja warga asing hari ini di tapak binaan maut dihempap tong pasir di tapak binaan projek kondominium di Jalan Zurah US15/163 Bandar Pinggiran Subang, dekat sini.

Pengarah Bomba Selangor, Noor Azam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu jam 11.57 pagi.

“Bertindak atas maklumat, kita menggerakkan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh dengan kekuatan lima anggota dan sebuah jentera ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba di lokasi jam 12.15 tengahari tadi, pemerhatian mendapati, seorang mangsa lelaki yang telah dihempap tong pasir di tapak binaan bangunan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa dikenalpasti lelaki warga Bangladesh dipercayai tersepit di bawah tong pasir dan telah meninggal dunia.

Menurut Noor Azam, tong pasir itu dipercayai terjatuh dari kren.

“Polis juga sudah bergegas ke lokasi dan terlibat dalam usaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bawah tong pasir berat itu.

“Mayat mangsa telah dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut proses bedah siasat,” ujarnya. – MalaysiaGazette