Ab. Kadir Yaacob

KOTA BHARU – Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) Kelantan menggesa kerajaan atau Permodalan Nasional Berhad (PNB) membantu Persatuan Usahawan Durian Negeri Kelantan (PUDNK).

Setiausaha Perhubungan Putra negeri, Ab. Kadir Yaacob berkata, bantuan itu adalah dalam bentuk pinjaman sebanyak RM2 juta untuk membina sebuah kilang nitrogen bagi mengatasi masalah kerosakan atau lambakan buah tersebut.

Katanya, sudah sampai masanya kerajaan menerusi jabatan dan agensinya termasuk membantu kira-kira 500 pengusaha kebun durian musang king dan 10,000 pekebun durian di Kelantan.

“Mereka ketika ini amat memerlukan kilang sejuk beku bagi memastikan durian dalam keadaan elok, baik sebelum dijual di pasaran atau di eksport ke luar negara seperti China.

“Jika masalah lambakan buah ini dapat diatasi dengan membina kilang nitrogen, akan dapat menggalakkan lebih ramai lagi usahawan muda menceburkan diri dalam perladangan durian musang king di negeri ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Ab. Kadir turut menggesa kerajaan Pas Kelantan memberikan tanah ladang di Gua Musang dan menyediakan benih serta bimbingan kepada belia Melayu membuka ladang durian musang king.

Sekurang-kurangnya, kata beliau, masalah pengganguran di kalangan anak muda Kelantan dapat diatasi.

Beliau kesal, apabila seluas 7,500 ekar tanah di Pos Blau, Gua Musang dijual kepada syarikat asing untuk dijadikan Pusat Agro Pelancongan dan Ladang Durian Musang King.

“Sepatutnya, bantulah belia Melayu yang tidak ada pekerjaan. Apa yang dilakukan kerajaan negeri ini umpama kera di hutan disusukan, anak kandungan mati kelaparan.

“Rakyat Kelantan terus hidup dalam derita di negeri sendiri, negeri bergelar Serambi Mekah,” katanya. – MalaysiaGazette