Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Ketika Pakatan Harapan (PH) memegang tampuk pemerintahan pada 2019, Menteri Kewangannya, Lim Guan Eng memberikan berita ‘gembira’ kononnya aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) negara meningkat.

Antaranya, Guan Eng memaklumkan kepada umum bahawa Sapura Upstream bertukar menjadi Sapura-OMV.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, ketika itu FDI yang dikatakan meningkat sebenarnya hasil penjualan 50 peratus kepentingan Sapura Upstream kepada syarikat minyak dan gas Austria sebanyak RM 3.7 bilion.

Katanya, rakyat perlu sedar, pelaburan asing yang diuar-uarkan oleh Guan Eng merangkap Pengerusi DAP ketika ini adalah penjualan aset negara.

“Hutang Sapura bermula ketika kos membeli aset Seadrill Ltd, (RM8.78 bilion) dan Newfield Exploration Co. (RM2.83 bilion). Ini adalah hutang jangka panjang dan tidak perlu dibayar secara terus.

“Namun, isunya terjadi apabila aliran tunai Sapura semakin tenat ketika pengurusan terdahulu dan kerajaan PH menyuntik RM4 bilion melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk mengurangkan hutang.

“Akibatnya, kepentingan PNB meningkat dari 12 peratus kepada 40 peratus. Duit PNB adalah pelaburan rakyat,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Kini katanya, Sapura diterajui oleh Pengerusinya, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Petronas dan pengurusan pula diterajui bekas pengurusan tertinggi Petronas dan Shell, Datuk Anuar Taib.

Sehubungan itu Shahir menyarankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyelamatkan dana PNB yang dilaburkan ketika PH memerintah agar pelaburan rakyat tidak hangus begitu sahaja disebabkan mainan dan sentimen politik.

Namun tegas beliau, DPIM mahu agar PNB melalui Sapura mengehadkan pengagihan pendapatan kepada individu yang berkepentingan dalam syarikat itu.

Katanya, berdasarkan Laporan Kewangan 2021, sebanyak RM10.5 juta diagihkan kepada 18 Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Pengarah Eksekutif.

“Ini tidak masuk akal di kala PNB terpaksa menyuntik dana rakyat untuk menyelamatkan syarikat negara,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Patut lah deviden ASB merosot dari 10% ke 6% je . Kasihan rakyat nak dapat deviden tinggi dalam ASB kena jual dek menteri .

Comments are closed.