Logo UPM

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) telah dijemput Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) pada Bengkel Technical Working Group Food Cost (TWGFC) bagi membincangkan langkah-langkah meningkatkan daya saing industri ayam dan juga harga ayam di pasaran.

Objektif bengkel TWGFC ini adalah untuk mengetahui kekerapan pembelian ayam mengikut kemampuan bagi golongan B40, mengenal pasti manipulasi struktur pasaran harga ayam, dan mendapatkan pandangan inovasi saintifik dan teknologi yang boleh mengurangkan harga ayam.

Tiga pakar daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) iaitu Majlis Penasihat Pertanian Negara, Profesor Dr Mad Nasir Shamsudin, Pengarah Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Prof. Madya Dr. Shaufique Fahmi Ahmad Sidique dan Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Prof Dato’ Dr. Zulkifli Idrus turut hadir pada bengkel
TWGFC bagi memberi pandangan inovasi saintifik dan teknologi bagi menyelesaikan isu ayam di pasaran.

Perkara yang diperbincangkan antaranya adalah berkenaan punca kenaikan harga ayam antaranya adalah kerana kebergantungan negara kepada pengimport terhadap penggunaan bahan utama dalam makanan ayam iaitu jagung dan kacang soya serta faktor pandemik Covid-19 menyebabkan harga pasaran dunia jagung dan kacang soya telah naik mendadak sejak tahun lepas.

Selain itu, pakar-pakar UPM turut membentuk beberapa cadangan bagi mewujudkan stok bahan makanan penting untuk membendung harga makanan ayam serta menstabilkan bekalan dalam jangka masa pendek.

Selain itu, antara yang terlibat pada bengkel TWGFC ini adalah Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), UPM, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI). – MalaysiaGazette