Penang civil servants Syawal Aidilfitri special financial aid
Chow Kon Yeow.

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng tidak perlu meletak jawatan sehingga kes rasuahnya diputuskan mahkamah walaupun terdapat desakan daripada pemimpin parti itu agar beliau berbuat demikian.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, tiada keperluan untuk Guan Eng meletakkan jawatan kerana kes tersebut masih lagi dalam peringkat perbicaraan.

“Saya rasa jawatan Pengerusi YB Lim Guan Eng kekal, parti tidak berhasrat untuk membuat apa-apa keputusan tentangnya sehingga kes perbicaraan itu selesai,” katanya yang juga Naib Presiden DAP.

Beberapa hari lepas, Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Boo Cheng Hau meminta Mentor parti itu, Lim Kit Siang menasihatkan Guan Eng meletak jawatan bagi mengelakkan nilai parti daripada dipertikaikan kerana ia merupakan isu peribadi.

“Kita tidak boleh membiarkan kredibiliti parti runtuh berikutan kesalahan-kesalahan yang dilakukan beberapa pemimpin. Saya dengan rendah diri percaya DAP bekerja keras untuk menjadi parti politik berkelas dunia sebelum kita boleh merealisasikan Malaysia berkelas dunia,” katanya Cheng Hau.

Guan Eng berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 (RM6.34 bilion) di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

Pengerusi DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu. – MalaysiaGazette