Graduan, Nur Hidayah Mohd Teridi (tengah), Mohd Teradi Hashim (kanan), dan Noorsiah Abd Latif (kiri) bergambar bersama selepas Majlis Konvokesyen Ke-14 Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur di Dewan Matrade, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 26 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – “Kami berjanji, jika dahulu kami menjadi asnaf penerima zakat, Insya-Allah satu masa nanti kami berusaha menjadi pembayar zakat.”

Itu janji penerima Anugerah Pingat Emas Menteri, Nur Hidayah Mohd Teridi dalam ucapannya pada Majlis Konvokesyen Ke-14 Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur di Dewan Matrade, di sini, hari ini.

Menurut graduan yang merangkul wang tunai RM3,000 tajaan Pusat Pungutan Zakat di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu, kejayaannya adalah hasil daripada bantuan zakat.

“Tidak keterlaluan untuk saya katakan, tanpa bantuan MAIWP, entah ke mana saya dan rakan-rakan asnaf yang lain akan tersadai,” katanya.

Dalam pada itu, graduan Diploma Pengurusan Industri Halal itu berkata, menjadi anak asnaf menguji kehidupan apabila beliau terpaksa menjual nasi berlauk di tepi jalan bagi menampung kos sara diri.

“Nak bahagikan masa belajar dengan bekerja separuh masa adalah amat mencabar. Alhamdulillah, syukur saya berjaya sampai ke tahap ini.

“Sebelum ini saya ada jual nasi berlauk di tepi jalan, di banyak tempat juga untuk menampung perbelanjaan hidup,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas majlis konvokesyen.

Bagaimanapun, anak bongsu daripada empat adik beradik itu tidak menjadikan kejayaan hari ini terhenti apabila beliau berhasrat untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar menyampaikan Anugerah Pengerusi MAIWP kepada Muhammad Haziq Hashim pada Majlis Konvokesyen Ke-14 Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur di Dewan Matrade, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 26 MAC 2022.

Sementara itu, PPZ turut memberikan wang tunai RM2,000 kepada penerima Anugerah Pengerusi MAIWP, Muhammad Haziq Hashim.

Graduan Diploma Pengurusan Zakat dan Wakaf itu berjaya merangkul anugerah tersebut selepas menampilkan nilai kepimpinan yang tinggi dan kecemerlangan akademik yang konsisten setiap semester.

“Pada mulanya saya tidak sangka, namun sudah tertulis takdir bahawa saya telah dinobatkan anugerah itu, saya bersyukur dengan rezeki ini,” katanya .

Graduan berumur 23 tahun itu ditawarkan pekerjaan sebagai Pembantu Agihan Wakaf dan Mal di Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette