Minister of National Unity, Datuk Halimah Mohamed Sadique MITRA funds Malaysian Indian Community Transformation Unit (MITRA) MACC
Datuk Halimah Mohamed Sadique

ALOR SETAR – Kementerian Perpaduan Negara akan menjalankan kaji selidik bagi mengenal pasti minat untuk mengajar dan masalah dihadapi guru-guru Tabika Perpaduan di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, langkah itu bagi membolehkan tindakan diambil untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran pendidikan awal kanak-kanak di semua Tabika Perpaduan dilakukan dalam suasana yang kondusif.

“Saya sudah minta pihak Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional untuk buat soal selidik tentang minat guru-guru kita untuk menjadi guru tabika.

“Kita ingin tengok berapa ramai cikgu kita ini ada minat dan ada kesungguhan mahu menjadi seorang pendidik kepada anak-anak berusia empat, lima dan enam tahun,” katanya dalam sidang media Majlis Penyampaian Geran KRT Komuniti Sejahtera, Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Kedah dan Perlis 2022 di sini hari ini.

Katanya, kaji selidik itu juga bagi mendapatkan maklum balas daripada kesemua 1,781 guru Tabika Perpaduan sama ada mereka menghadapi sebarang masalah dan perkara yang mereka rasakan boleh ditambah baik.

Beliau berkata, kementerian juga berharap dapat menentukan sama ada guru-guru Tabika Perpaduan menghadapi tekanan dan mengenal pasti punca perkara itu berlaku.

Halimah berkata demikian sebagai mengulas tindakan seorang ibu yang memuat naik luahannya di Facebook mengenai sikap seorang guru Tabika Perpaduan di Hulu Langat, Selangor yang mana anak wanita itu bersekolah dan catatan itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen sejak beberapa hari lepas.

Guru terbabit dikatakan menyatakan anak wanita tersebut yang berusia lima tahun belum bersedia untuk bersekolah kerana kerap menangis di dalam kelas sehingga dikatakan mengganggu sesi pengajaran dan pembelajaran.

Mengulas lanjut mengenainya, Halimah berkata guru tersebut telah pun ditempatkan sementara ke Pejabat Perpaduan Daerah Hulu Langat dan siasatan ke atasnya sedang dijalankan.

“Sebagai guru, mereka kena fahamlah apa tanggungjawab mereka, etika sebagai seorang guru, walaupun apa situasi yang ada, kita tidak boleh terperangkap dalam situasi yang menuntut kesabaran kita. Jadi kalau ada masalah dibincang secara baik,” katanya.

Halimah berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan ibu bapa kanak-kanak itu dan berharap isu tersebut tidak dipanjangkan. – Bernama