Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (kiri) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Hari Usahawan Negara 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 26 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya para usahawan menguasai pelbagai teknologi baharu khususnya pendigitalan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus perdana.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana rangkaian ekonomi berdepan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang membawa pelbagai teknologi dengan kerajaan giat melaksanakan persiapan MyDigital.

“MyDigital merupakan satu inisiatif yang mencerminkan aspirasi Kerajaan mentransformasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan pendigitalan dan sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital.

“Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR menggariskan usaha dan inisiatif dalam mencapai aspirasi MyDigital.

“Saya berharap para usahawan menguasai teknologi baharu ini khususnya pendigitalan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus yang sedang berkembang pesat,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (kiri) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Hari Usahawan Negara 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 26 MAC 2022.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis Perasmian Hari Usahawan Negara (HUN) 2022, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam ini

Hadir pada majlis Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Ismail Sabri berkata, pendigitalan juga dapat membantu produk-produk dari luar bandar menembusi pasaran yang lebih luas.

“Bagi mencapai hasrat ini, kerjasama strategik antara usahawan dengan agensi kerajaan perlu dieratkan supaya setiap inisiatif yang dilaksana dapat diterjemahkan,” ujarnya. -MalaysiaGazette