Seramai 58 warga tempatan yang didapati berhibur tanpa mematuhi SOP di sebuah pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah telah dikenakan kompaun berjumlah RM58,000 dalam serbuan polis semalam.Ihsan IPD Dang Wangi

KUALA LUMPUR – Seramai 58 orang warga tempatan yang bersuka ria dengan minuman keras tanpa menghiraukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) menerima tempiasnya awal pagi tadi.

Kesemua mereka dikenakan tindakan kompaun oleh polis yang menyerbu sebuah pusat hiburan di ibu negara.

Malahan pusat hiburan berkenaan yang gagal memastikan pematuhan SOP juga menerima padah, menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dalam kenyataan hari ini.

“Pada Sabtu pukul lebih kurang 11.20 pagi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Dangi telah menjalankan pemeriksaan ke atas pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail.

“Pemerhatian dan pemeriksaan di dalam premis itu mendapati beroperasi dengan tidak mematuhi SOP PPN Fasa 4.

“Dalam pemeriksaan tersebut, seramai 58 warga tempatan yang berusia di antara 20 tahun hingga 49 tahun telah diperiksa dan kesemua mereka didapati bersalah mengingkar SOP,” katanya.

Rentetan kejadian itu, kesemua 58 warga tempatan itu termasuk pengurus premis berkenaan telah dikompaun sebanyak RM58,000 iaitu RM1,000 setiap orang.

Kompaun itu dikeluarkan terhadap mereka mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“Justeru, hasil daripada pemeriksaan lanjut, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah seksyen 4 (1) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 atas restoran itu atas kesalahan menganjurkan aktiviti hiburan tanpa lesen yang sah.

“Dalam pada itu, orang ramai adalah dinasihati supaya terus mematuhi SOP yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pihak polis akan meningkatkan operasi dan pemeriksaan di pusat hiburan serta membuat pemantauan ke atas aktiviti kelab malam yang jelas tidak dibenarkan di bawah PPN Fasa 4,” tegasnya.-MalaysiaGazette