Mohd Hairy mengimbas kad perakam waktu di Sekretariar Sukan Malaysia (Sukma) Johor pagi tadi.

ISKANDAR PUTERI – Pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (Exco) yang terdiri daripada golongan muda tidak seharusnya dijadikan bahan politik oleh mana-mana pihak.

Ini kerana pelantikan itu telah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah.

Menurutnya, barisan pentadbir negeri terdiri daripada golongan muda dan muka baharu tidak seharusnya menjadi isu.

“Tidak timbul isu pelantikan exco daripada orang baharu dalam politik ini melanggar kebiasaan kerana Johor ini unik dengan Undang-Undang Tubuh Negeri dan peranan Sultan Johor.

“Benar di dalam parti (UMNO) adanya jawatan presiden dan apa yang ditetapkan adalah menjadi keutamaan namun di Johor, kita tidak boleh melanggar institusi diraja, jadi tidak seharusnya timbul sebarang pertikaian berhubung perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pelantikan muka baharu ini layak untuk mentadbir Johor ketika ditemui di Ibu Pejabat Sekretariat Sukan Malaysia (SUKMA) Johor di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk On Jabbar.

Mohd. Hairi yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Johor berpandqngan, tempoh berpolitik telah tamat dan apa yang menjadi keutamaan buat beliau adalah kepada pembangunan dan kemajuan negeri Johor.

“Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah habis, sekarang kita fokus soal kerja seperti yang dititahkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Saya juga yakin dengan kredibiliti barisan Exco yang dilantik beserta pengalaman dan kepakaran penjawat awam, Johor akan mampu melakar sejarah baharu.

“Secara peribadi, saya sendiri komited untuk memastikan golongan belia di negeri ini bekerjasama dengan individu berpengalaman dan bersama-sama memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri, Insya-Allah,” ujarnya.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tak pe laa…org yg berumur lebih 40 tahun boleh laa undi parti lain plak kan..agaknya kita dah lupa Malaysia ni menuju aging nation

Comments are closed.