I’Dahlia Corner terletak di kawasan kejiranan Menara Berkembar ­Petronas (KLCC).

KUALA LUMPUR – Buat mereka yang mahu mencari kelainan untuk berbuka puasa Ramadan bulan depan dalam suasana kehijauan, apa kata memilih untuk ke I’Dahlia Corner kali ini.

Restoran itu merupakan satu-satunya yang diusahakan oleh usahawan Bumiputera yang terletak di kawasan kejiranan Menara Berkembar ­Petronas (KLCC) dan segi tiga emas di Kuala Lumpur menawarkan kelainan berbuka puasa secara bufet di dalam taman yang menhijau

Pemilik restoran, Dahliati Ali­ruddin berkata, terdapat lebih daripada 50 menu termasuk sajian utama, pemanis mulut dan minuman ditawarkan pada RM59 untuk dewasa dan RM29 kanak-kanak.

Beliau yang telah terlibat dalam bidang makanan dan minuman sejak tujuh tahun lalu itu menerangkan, antara menu popular di I’Dahlia adalah sup tulang meletop dan nasi ayam Johor.

“Saya belajar memasak sup tulang dan nasi ayam dari Johor ini daripada arwah mak dan mula menjual kepada umum secara kecil-kecilan di medan selera iaitu di tempat asal restoran sekarang.

“Menggunakan rempah membuat sup yang dihasilkan sendiri telah menjadikan menu tersebut menjadi pilihan pengguna di medan selera tersebut hinggalah saya dan suami mengambil alih kawasan dan mengubahsuainya menjadi restoran I’Dahlia,” katanya.

I’ Dahlia Corner menawarkan lebih daripada 50 menu termasuk sajian utama, pemanis mulut dan minuman.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada ­majlis pelancaran bufet Ramadan, Berbuka Puasa di dalam Taman di Jalan Persiaran Stonor, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dahliati menjelaskan, menu lain yang dihidangkan nanti adalah nasi lemak Stonor, paru go­reng berempah, asam pedas ikan pari, sambal tempe, ayam goreng berempah, kuih muih tradisional, pemanis mulut seperti pengat pisang, pengat ubi dan gorengan lain seperti pisang goreng dan ubi goreng.

Juadah berbuka puasa di restoran berkenaan mula dibuka pada 5 April ini dan pengunjung bakal dihiburkan dengan persembahan buskers selain kemudahan surau disediakan di premis berkenaan. – MalaysiaGazette

I’ Dahlia Corner menawarkan kelainan berbuka puasa secara bufet di dalam taman.