Perdana KLCC akan memastikan bahawa buffet yang disediakan mematuhi prosedur sosial dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kementerian kesihatan dan pihak berkuasa.

KUALA LUMPUR – Sempena Ramadan tahun ini, Perdana Kuala Lumpur City Centre (Perdana KLCC) menyediakan lebih daripada 150 juadah berbuka puasa dengan menampilkan menu popularnya, kambing golek berempah.

Pengurus Hotel, Zakaria Ismail berkata, menu berbuka puasa dengan konsep Dari Dapur Binjai itu bakal membawa memori lama dan nostalgia menikmati makanan dari air tangan bonda dan nenda di kampung halaman pada bulan Ramadan.

Jelas beliau, tema itu akan menyaksikan pasukannya yang berpengalaman menyediakan pelbagai juadah iftar yang menyelerakan bermula daripada hidangan utama hinggalah kepada pencuci mulut dan minuman.

“Antara menu tersebut adalah ketam lemak berlada, da­ging rendang Minang, ayam percik, ayam golek, kambing opor Bali, udang sambal tumis dan hidangan pencuci mulut se­perti ais kacang, cendol, apam balik, waffle dan pelbagai juadah enak yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Majlis pelancaran dan prebiu bufet Ramadan di Perdana KLCC berlangsung baru-baru ini.

Eksekutif Chef Perdana KLCC, Amran Adnan.

Zakaria menambah, apa yang menarik pada tahun ini, pe­ngunjung akan menikmati hidangan berbuka puasa di restoran baharu yang telah diubahsuai dan terletak di tingkat satu hotel berkenaan.

Katanya, selaras dengan ketetapan kerajaan, Perdana KLCC akan memastikan bahawa buffet yang disediakan mematuhi prosedur sosial dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kementerian kesihatan dan pihak berkuasa.
“Langkah pembersihan yang kerap dan menyeluruh akan dipertingkatkan untuk memastikan keselesaan dan keselamatan tetamu terjamin kerana ianya merupakan keutamaan kami.
“Status Halal pastinya menjadi perhatian utama bagi mana-mana pengunjung Muslim
untuk berbuka di hotel mewah dan perkara ini merupakan keutamaan bagi pihak
Perdana Kuala Lumpur City Centre dan kami telah disahkan Halal bersesuaian
dengan kriteria Syariah Islam.
“Selain dari tempat berbuka yang indah, surau juga turut disediakan di tingkat 5 untuk para tetamu menunaikan solat Maghrib dan Tarawih.
“Masjid Asy-Syakirin juga berdekatan bagi mereka yang ingin menunaikan solat Tarawih,” katanya.

Harga pembelian awal bufet Ramadan sehingga 2 April ini adalah RM100 seorang dewasa tetapi selepas tarikh tersebut, harga yang ditawarkan adalah RM118. – MalaysiaGazette

Harga pembelian awal bufet Ramadan sehingga 2 April ini adalah RM100 seorang dewasa.