Sultan Ibrahim perkenan menampung semua kos baik semula kedai yang musnah dalam kebalaran di Ulu Tebrau, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Lima peniaga yang terjejas pendapatan selepas gerai mereka di Kawasan Perniagaan Felda Ulu Tebrau di sini musnah dalam kebakaran pada Jumaat lalu bersyukur apabila mendapat perhatian Sultan Johor.

Keberangkatan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melawat kawasan kejadian juga membawa sinar baharu kepada para peniaga terbabit.

Baginda mencemar duli meluangkan hampir 30 minit bertemu mangsa-mangsa kebakaran bertitah, kos pembinaan semula gerai-gerai yang terjejas akan dibiayai oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Titah baginda disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan olehpara peniaga yang terjejas serta penduduk setempat.

Sultan Johor turut menitahkan wakil baginda, Mejar Cina Datuk David Wong untuk melawat lokasi kejadian serta menilai beberapa perkara bagi memulakan pembinaan semula gerai dengan segera.

“Gerai-gerai ini merupakan tempat mereka mencari rezeki demi keluarga masing-masing. Saya akan biayai sepenuhnya kos pembinaan semula gerai.

“Saya sendiri akan buat reka bentuk gerai di mana amat selesa jika dilengkapi dengan tandas dan dapur serta pendawaian elektrik yang selamat,” titah  Sultan Johor dipetik dari Royal Press Office (RPO) hari ini.

Sementara itu, peniaga makanan char kway teow, Mohd Razif Amat yang berniaga di situ sejak 2014 menceritakan peristiwa yang menimpa gerai di kawasan itu.

“Gerai ini saya sewa bersama Pertubuhan Peneroka Rancangan (PPR), namun amat sedih apabila ia musnah dalam kebakaran.

“Saya langsung tidak sangka keberangkatan  Sultan Johor pada hari ini akan membawa satu khabar baik serta rezeki buat kami semua yang terjejas.

“Terima Kasih Tuanku. Patik menjunjung setinggi-tinggi kasih. Moga Tuanku Sultan sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan panjang umur,” katanya.

Kejadian melibatkan tiga kedai makan dan masing-masing sebuah kedai menjual peralatan tulis serta kedai basikal.

Kebakaran telah memusnahkan 90 peratus daripada keseluruhan bangunan.-MalaysiaGazette