Lelaki warga emas maut manakala seorang lagi parah selepas motosikal ditunggangi masing-masing bertembung di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Paya Rumput, di Melaka awal pagi tadi.

ALOR GAJAH – Lelaki warga emas maut manakala seorang lagi parah selepas motosikal ditunggangi masing-masing bertembung di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Paya Rumput, di sini awal pagi tadi.

Mangsa maut dikenali N. Sivalingam, 70, manakala Muhammad Nasrul Hafiz Muhammad Fairuz Tai, 23, parah dan dimasukkan ke Zon Merah Hospital Melaka dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 pagi itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, nahas berlaku apabila salah sebuah motosikal ditunggang secara melawan arus dari arah Rembia menghala ke lampu isyarat Paya Rumput Indah.

Katanya, ketika kejadian warga emas berkenaan telah menunggang motosikal jenis Honda Wave, manakala pemuda tersebut membawa Yamaha 135LC.

“Kita dapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggangi mereka bertembung dan dipercayai salah sebuah telah menunggang secara melawan arus.

“Akibat kemalangan itu juga, kedua-dua buah motosikal jenis Honda Wave dan Yamaha 135LC berkenaan telah melanggar sebuah lagi kereta jenis Nissan Almera yang berada di lorong kiri jalan,“ katanya.

Tambah Hassan Basri, setakat ini pihak polis masih menyiasat punca kejadian kejadian iaitu pemandu Almera berusia 39 tahun itu juga tidak dapat mengesahkan kenderaan yang telah melawan arus. .

“Tiada sebarang saksi bebas dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, hanya kesan calar di atas jalan raya lebih kurang lima meter,” katanya.

Mayat mangsa telah di hantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette