Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 16,863 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan semalam berbanding 20,923 kes pada Ahad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 16,625 adalah kes penularan tempatan dengan 16,031 kes melibatkan warganegara dan 594 lagi bukan warganegara.

“Kes import 238 kes melibatkan 236 warganegara dan 2 bukan warganegar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikutan itu jumlah kumulatif kes positif Covid-19 meningkat kepada l4,138,867 kes.

Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan 9,273 kes diikuti Kuala Lumpur (1,395), Pulau Pinang (990), Perak (836), Johor (764), Kedah (652), Sarawak (631), Negeri Sembilan (556), Melaka (403), Pahang (383), Terengganu (327), Kelantan (295), Sabah (245), Labuan (38), Putrajaya (38), dan Perlis (37).

Tambah Noor Hisham, sebanyak 299 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan 187 kes lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.

Daripada 16,863 kes positif itu, 51.31 peratus daripadanya iaitu 8,652 diklasifikasikan dalam kategori 1 manakala 8,111 kes dalam kategori 2 dan 48 kes dalam kategori 3.

Sejumlah 29 kes dalam kategori 4 dan 23 kes lagi dalam kategori 5.

Dalam pada itu, sejumlah 26,171 kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 direkodkan semalam menjadikan jumlah kumulatif adalah 3,870,937 kes.

Noor Hisham memberitahu, sebanyak 37 lagi kematian akibat Covid-19 dilaporkan semalam, yang mana enam daripadanya berlaku di luar hospital. – MalaysiaGazette