MyTutor melancarkan platform kelas secara dalam talian yang dikenali edufy.my.

KUALA LUMPUR – MyTutor Academy Sdn. Bhd. (My Tutor), syarikat berasaskan perkhidmatan kelas tuisyen di rumah dikenali sebagai MyTutor memperkenalkan servis  servis baharu iaitu platform kelas secara dalam talian yang dikenali edufy.my.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Hafiz Kamaruddin berkata, MyTutor yang telah ditubuhkan sejak tahun 2016 perlu sentiasa berevolusi seiring dengan keperluan semasa pelajar mengikut peredaran zaman.

Jelas beliau, kesan pandemik ini secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada MyTutor untuk merebut peluang yang ada dalam memenuhi keperluan semasa.

“Ia merupakan platform pertama yang menghubungkan aplikasi Zoom secara bersepadu bagi pelaksanaan kelas berserta modul pelajaran secara digital mengikut permintaan pelajar.

“Sistem pengurusan pembelajaran diautomasi sepenuhnya bermula daripada pendaftaran, pembayaran, pautan Zoom sehinggalah rakaman kelas diuruskan oleh sistem.

“Edufy kini terdapat lebih 130 kelas dan mampu menampung kelas yang bersiaran langsung secara serentak pada skala yang lebih besar,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pelancaran MyTutor dan Edufy yang telah dirasmikan oleh barisan pengasas MyT EduTech Berhad yang merupakan ibu syarikat kepada MyTutor Academy Sdn. Bhd.

MyTutor kini mempunyai lebih 1,900 tutor dengan 17,000 pelajar yang berdaftar seluruh Malaysia termasuk pelajar Malaysia yang berada di luar negara.

Mohd. Hafiz Kamaruddin.

Mohd. Hafiz menambah, Edufy telah dibangunkan sejak tiga tahun lalu sebagai alternatif kepada pelajar namun kebanyakan ibu bapa lebih gemar memilih servis guru datang ke rumah mengajar secara bersemuka.

Ujar beliau, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarikatnya tidak mempunyai pilihan dan mengambil kesempatan menggunakan platform Edufy secara efektif dan percubaan tersebut nyata berjaya kerana draf permintaan meningkat.

“Ketika negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan peningkatan kes Covid-19, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menjadi kaedah terbaik dalam memastikan pendidikan dapat diteruskan apabila pembelajaran secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan.

“Menerusi pelaksanaan PdPR kaedah pembelajaran diajar oleh para guru di sekolah menggunakan kemudahan peranti dan akses internet telah mendapat sambutan baik di kalangan pelajar.

“Sebagai peneraju servis tuisyen di rumah, kami juga mengikuti perkembangan tersebut dengan menawarkan kelas tuisyen secara dalam talian secara individu atau berkumpulan yang tidak melebihi 24 pelajar dalam satu-satu masa,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Hafiz memberitahu, MyTutor telah mengorak langkah mengadakan perjanjian usahasama dengan pihak institusi pengajian tinggi (IPT) bagi membantu lebih ramai graduan.

“Kerjasama ini melibatkan siswazah yang telah tamat belajar tetapi belum memperoleh pekerjaan bagi menimba pengalaman sebagai tenaga pengajar. Selain keupayaan mereka menyampaikan modul kepada pelajar, kemahiran berkomunikasi juga meningkat.

“Kumpulan tutor hanya perlu menjalani beberapa ujian kelayakan sebelum diserap masuk sebagai tenaga pengajar termasuk latihan dan kemahiran mengajar sama ada kelas bersemuka mahupun dalam talian.

“Program bimbingan serta latihan diberikan secara percuma kepada semua tutor berdaftar di mana aaripada jumlah 1,900 tutor dengan pendapatan purata tutor sekitar RM1,000 ke RM3,000, kami menyasarkan peningkatan bilangan tutor aktif seramai 100,000 tempoh empat tahun akan datang dan seterusnya mendokong aspirasi MyT EduTech Berhad untuk tersenarai di Bursa Saham pada tahun 2026,” katanya.

Pada masa sama, turut berlangsung majlis penyerahan sijil kepada 87 pemegang saham MyTutor. – MalaysiaGazette