Gambar Fail: -/Ukrinform/dpa

KYIV – Ukraine meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan menghentikan aktiviti ketenteraan di zon pengecualian di sekitar loji kuasa nuklear Chernobyl, lapor Xinhua memetik laporan agensi berita nasional Ukrinform pada Isnin.

“Kami menuntut Majlis Keselamatan PBB mengambil langkah segera hentikan aktiviti ketenteraan di zon pengecualian NPP Chernobyl dan menubuhkan pasukan khas PBB bagi mengelakkan kejadian berulang,” Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Iryna Vereshchuk dipetik sebagai berkata.

Loji nuklear Chernobyl, kira-kira 110 kilometer di utara Kyiv, pernah mengalami tragedi kemalangan nuklear paling teruk dalam sejarah manusia pada 26 April 1986.

Pada masa ini, terdapat risiko kerosakan terhadap struktur binaan yang dibina mengelilingi unit kuasa nuklear nombor empat Chernobyl akibat serangan dan sejumlah besar peluru menghujani kawasan itu, tambah Vereshchuk.

Pegawai penyiasat Ukraine, Lyudmyla Denisova pada Ahad berkata bahawa kebakaran hutan turut berlaku di sekitar NPP Chernobyl meliputi lebih 10,000 hektar.

Anggota bomba Ukraine tidak dapat memasuki kawasan yang dikawal tentera Rusia, tambah Denisova.

Pada 24 Feb lepas, penasihat Presiden Ukraine, Mykhailo Podoliak berkata tentera Rusia telah merampas loji kuasa nuklear itu.- BERNAMA