Kadar Zakat Fitrah di Selangor bagi Ramadan tahun ini kekal sebanyak RM7 seorang.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kadar Zakat Fitrah di Selangor bagi Ramadan tahun ini kekal sebanyak RM7 seorang.

Ketua Divisyen Kutipan, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Muhd Fikri Naim Harun berkata, penetapan kadar zakat fitrah itu berdasarkan harga bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan oleh masyarakat di negeri itu.

Bagaimanapun katanya, LZS amat menggalakkan golongan yang berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan.

“Secara tidak langsung, kita berpeluang untuk melakukan kebaikan dalam meraih keberkatan bulan Ramadan.

“Kadar zakat fitrah tersebut adalah sebanyak RM14.00 seorang bagi individu yang memakan beras putih import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi atau RM21 seorang bagi individu yang memakan beras basmathi, beras jepun, beras merah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Muhd Fikri, galakan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan itu telah dilaksanakan oleh LZS sejak 2018 lagi.

Ujarnya, bagi memudahkan umat Islam di Selangor menunaikan bukan sahaja zakat fitrah malahan zakat harta pada bulan Ramadan, LZS telah menyediakan pelbagai platform pembayaran
dalam talian yang lebih pantas dan selamat.

Jelasnya, antara platform itu adalah menerusi EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my; aplikasi Zakat Selangor; perbankan internet ; portal MyEg dan Pos Online serta aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost.

Dalam pada itu beliau berkata, LZS turut melantik seramai 2,745 orang ketua dan penolong amil fitrah di seluruh Selangor untuk mengutip zakat fitrah sepanjang Ramadan tahun ini.

Jsuteru katanya, masyarakat Islam dinasihatkan agar membayar zakat fitrah hanya kepada amil dilantik oleh LZS yang dibekalkan kad tauliah dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang berurusan. – MalaysiaGazette