Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 13,336 kes positif Covid-19 dilaporkan semalam.

Daripada jumlah itu, 13,147 kes melibatkan penularan tempatan dan 189 lagi kes import.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 4,152,203 kes.

Dalam pada itu, sejumlah 54 kes kematian direkodkan semalam dengan 16 kes diklasifikasikan sebagai kematian di luar hospital (BID).

Selangor mencatatkan angka kematian tertinggi, iaitu 13 kes, diikuti Perak (sembilan), Kuala Lumpur (lapan); Kedah dan Negeri Sembilan (masing-masing lima); Johor, Sarawak dan Terengganu (masing-masing tiga); Kelantan dan Melaka (masing-masing dua) serta Pulau Pinang (satu).

Bagaimanapun, tiada kes kematian dilaporkan di Pahang, Perlis, Sabah, Labuan dan Putrajaya.

Semalam, sebanyak 220,270 kes aktif Covid-19 dilaporkan, termasuk 288 yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 185 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sejumlah 25,552 kes sembuh turut dilaporkan. – MalaysiaGazette