Datuk Dr Noor Azmi Ghazali Omicron Covid-19 variant VOC
Dr. Noor Azmi Ghazali

KUALA LUMPUR – Isu kesihatan mental kini telah menjadi satu pandemik senyap dengan berlakunya perubahan dalam kehidupan masyarakat, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali.

Katanya, masalah itu berpunca daripada pandemik Covid-19 yang menyebabkan rata-rata masyarakat terkesan dari segi emosi dan kesihatan mental.

“Institusi kekeluargaan juga turut terjejas akibat kematian ahli keluarga disebabkan Covid-19 serta permasalahan keluarga seperti tekanan kewangan kerana hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.

“Kementerian mengambil serius impak pandemik terhadap kesihatan mental masyarakat terutama pesakit Covid-19 dan mereka yang kehilangan ahli keluarga akibat penyakit itu.

“Berikutan itu, KKM melaksanakan beberapa tindakan seperti mewujudkan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial (MHPSS) di peringkat kebangsaan, negeri, daerah, hospital dan Klinik Kesihatan,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata, pasukan MHPSS yang dilatih akan memberikan bantuan awal psikologi serta intervensi lanjut kepada pesakit Covid-19 dan ahli keluarga yang terkesan dari segi emosi serta psikologi.

Kata beiau, perkhidmatan talian bantuan sokongan psikososial dimulakan sejak awal 2020 dengan kerjasama agensi kerajaan dan NGO (MERCY).

“Sehingga 28 Februari lalu, perkhidmatan talian sokongan psikososial ini telah menerima 280,472 panggilan dan dari jumlah itu, 73.0 peratus panggilan diterima memerlukan intervensi sokongan emosi psikologi dan kaunseling.

“Berikutan itu, inisiatif terkini KKM adalah memasukkan komponen kesihatan mental dalam aplikasi MySejahtera di bawah ikon Digital Healthcare.

“Pengguna aplikasi ini boleh mendapatkan maklumat mengenai talian bantuan sokongan psikososial, informasi berkaitan kesihatan mental dan saringan kesihatan mental kendiri,” jelas beliau.

Menurut Dr. Noor Azmi, selain dari inisiatif itu, kerajaan juga menyediakan inisiatif lain seperti Kit Pakej Penjagaan Covid-19 (PPC) yang mengandungi beberapa item penjagaan diri untuk golongan B40.

Inisiatif itu, jelas beliau, bertujuan untuk membantu pesakit Covid-19 serta ahli keluarga dalam pemerkasaan penjagaan kendiri di rumah sepanjang tempoh pandemik ini. – MalaysiaGazette