Kuala Lumpur Court Complex MACC MEIO case items evidence Hasanah Abdul Hamid
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 17 Mei ini bagi mendengar permohonan semakan kehakiman seorang ibu yang mahu mencabar tindakan bekas suami yang mendaftarkan ketiga-tiga anak mereka sebagai mualaf tanpa keizinannya.

Loh Siew Hong juga menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Kerajaan Negeri Perlis sebagai responden pertama hingga keempat.

Menurut peguam mewakili wanita itu, A Srimurugan, kes tersebut akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada 17 Mei ini.

Dalam permohonan itu, Siew Hong, memohon deklarasi mahkamah memberi ketetapan anak-anaknya masih lagi beragama Hindu dan tindakan bekas suaminya, M Nagahswaran adalah tidak sah daripada segi undang-undang.

Wanita itu juga memohon deklarasi sama terhadap Pendaftar Mualaf Negeri Perlis yang mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa keizinannya dan memohon membatalkan kad-kad rasmi memeluk agama Islam terhadap anak-anaknya jika ia telah dikeluarkan oleh mana-mana pihak berwajib.

Jika kad-kad itu belum keluar maka satu perintah larangan untuk menghalang pihak terbabit mengeluarkan kad berkenaan.

Beliau turut memohon perintah mahkamah (perintah mandamus) bagi melarang Mohd Asri atau yang lain-lain membuat apa-apa kenyataan secara nyata atau tersirat yang boleh membawa maksud anak-anaknya mualaf atau beragama Islam.

Pada 21 Februari lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan tiga adik-beradik dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu diserahkan kepada Siew Hong yang membuat permohonan habeas corpus bagi perintah itu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah berpuas hati dengan keputusan mahkamah bahawa pemohon telah diberikan hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal terhadap ketiga-tiga anaknya.

Collin ketika membacakan keputusannya berkata, Siew Hong sebelum itu turut diberikan hak jagaan dan kawalan sementara terhadap ketiga-tiganya dan perintah itu tidak boleh dianggap sewenang-wenangnya.

“Perintah mahkamah masih kekal dan masih sah. Perintah mahkamah tidak boleh dilayan dengan sewenang-wenangnya dalam berhadapan penghinaan mahkamah. Oleh sebab perintah mahkamah masih kekal, saya membenarkan permohonan writ habeas corpus,” ujarnya.

Dalam notis usulnya yang difailkan melalui Tetuan SS Thind pada 13 Februari, Siew Hong menamakan Nazirah Nanthakumari Abdullah sebagai responden pertama dan pihak yang tidak dinamakan yang beliau dakwa menjaga tiga anaknya sebagai responden kedua.

Dia telah memohon writ habeas corpus atau perintah lain yang sesuai oleh mahkamah untuk membolehkan anak-anaknya itu dibebaskan serta-merta daripada hak penjagaan persendirian responden dan dikembalikan kepadanya. – MalaysiaGazette