Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani . Foto HAZROL ZAINAL, 12 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia telah mengatur gerakkan Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk membuat pemantauan di kawasan-kawasan berhampiran sempadan negara.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, langkah itu merupakan persediaan awal pembukaan sempadan negara pada 1 April ini.

“Tumpuan khusus diberikan kepada kawasan di Utara Semenanjung, Pantai Timur Semenanjung serta di Sabah dan Sarawak.

“Program turut akan dilancarkan di Kota Bharu, Kelantan dan Kedah oleh PGA untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa polis telah bersiap sedia untuk menangani apa juga perkara yang timbul susulan pembukaan sempadan ini,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran buku Jenayah Siber pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Pameran Keselamatan Asia 2022, sini, hari ini.

Tindakan tersebut diambil berikutan negara akan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik dan pembukaan semula sempadan bermula Jumaat ini.

Perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara itu berkata, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor dan pandangan Kementerian Kesihatan serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet.-MalaysiaGazette