Seramai 11 individu yang disyaki terlibat dalam kes penipuan atas talian ditahan dalam serbuan di sebuah premis sekitar Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Seramai 11 individu yang disyaki terlibat dalam kes penipuan atas talian ditahan dalam serbuan di sebuah premis sekitar Kuala Lumpur semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, kesemua tangkapan melibatkan mereka berusia dalam lingkungan 22 hingga 36 tahun.

Pelbagai barangan terlibat turut dirampas termasuk lima unit komputer riba pelbagai jenama, 29 unit telefon bimbit pelbagai jenama dan satu rangkai kunci rumah yang digunakan dalam kegiatan tersebut.

“Kesemua suspek ditahan reman sehingga 30 Mac 2022 dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan telah menjalankan operasi berkenaan sejak Mac lalu.

Menurut Mohd Mahidisham, dalam modus operandi sindiket berkenaan akan menawarkan mangsa dari luar negara untuk membuat bidaan terhadap pembelian hartanah dan barang berharga yang tidak wujud dan nilai bidaan bermula daripada RM1, 000 ke atas.

Oleh itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dan sentiasa berwaspada dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi pembayaran.- MalaysiaGazette