Ahmad Zakiyuddin (kiri) menunjukkan kadar zakat fitrah negeri Pulau Pinang bagi tahun 2022.

SEBERANG PERAI – Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) menetapkan tiga kadar bayaran zakat fitrah, iaitu RM7, RM13 dan RM20 tahun ini.

Kadar tersebut meningkat sedikit berbanding tiga kadar sama tahun lepas iaitu RM7, RM12 dan RM16.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, tiga kadar itu ditetapkan selepas memperoleh kelulusan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 berkata, umat Islam yang lebih berkemampuan di negeri ini boleh menunaikan kewajipan zakat fitrah pada kadar tertinggi RM20

“Mana-mana individu yang ingin membuat bayaran lebih tinggi berdasarkan keselesaan mengikut harga beras yang dimakan adalah digalakkan.

“Bagi golongan tidak berkemampuan dan ada tanggungan ramai, mereka boleh membuat bayaran zakat pada kadar RM7 seperti ditetapkan pada tahun lalu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah untuk Tahun 2022 oleh Zakat Pulau Pinang di sini, hari ini.

Ahmad Zakiyuddin pada Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah Pulau Pinang hari ini.

Pada majlis itu, seramai 1,709 orang amil dilantik untuk membuat kutipan zakat fitrah membabitkan 234 buah pusat kutipan di negeri ini tahun ini.

Tambah Ahmad Zakiyuddin, pihaknya menyasarkan kutipan zakat fitrah bagi tahun ini berjumlah RM6.5 juta.

“Bagi kaedah pembayaran, umat Islam boleh dibuat secara dalam talian serta bersemuka pada tahun ini.

“Namun, kita lebih menggalakkan pembayaran dibuat secara dalam talian,” kata beliau. – MalaysiaGazette