A pau manufacturing factory in Butterworth, Penang was ordered shut after failing to adhere to the health aspects.
A pau manufacturing factory in Butterworth, Penang was ordered shut after failing to adhere to the health aspects. Kilang membuat kuih pau dan dim sum di Butterworth, Pulau Pinang hari ini diarahkan tutup selepas gagal mematuhi aspek kebersihan yang ditetapkan.

BUTTERWORTH – Bukan saja kotor dan berlalat, malah tiga ekor anjing peliharaan, tikus serta lipas turut berkeliaran dalam kawasan memproses makanan.

Itulah keadaan sebuah kilang membuat kuih pau serta dim sum di Medan Melor Selatan, di sini, ketika diserbu sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan negeri Pulau Pinang, hari ini.

Ops Tegar bermula jam 9.30 pagi turut membawa kepada pendedahan pengusaha kilang kuih pau serta dim sum itu beroperasi secara haram sejak 10 tahun lalu di bahagian belakang sebuah rumah.

Ketua BKKM negeri, Mohd Wazir Khalid berkata, berdasarkan keadaan persekitaran serta tahap pematuhan kebersihan mendapati kilang terbabit tidak layak beroperasi.

Mohd Wazir.

Jelas beliau, pengusaha produk makanan terbabit disifatkan tidak peduli mengenai aspek kebersihan walaupun pernah dikenakan tindakan penutupan pada tahun 2019.

“Memang keadaan premis ini amat mendukacitakan. Kita dapati kawasannya sangat kotor, peralatan digunakan tidak dicuci selain menemui najis tikus dan lipas di stor penyimpanan serta tiga ekor anjing berkeliaran di tempat memproses makanan.

Anjing ditemui berkeliaran dalam kawasan proses kuih pau dan dim sum.

“Selain itu, kita dapati pekerja warga asing tidak memakai peralatan perlindungan diri (PPE) seperti sarung tangan dan penutup kepala ketika memproses makanan.

“Susulan itu, notis penutupan selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dikeluarkan terhadap pengusaha selain kita tiga kompuan berjumlah RM2,700 atas kesalahan lain,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Daging khinzir yang digunakan untuk menghasilkan dim sum ditempatkan dalam peti sejuk berhampiran tandas.

MalaysiaGazette difahamkan, pengusaha terbabit menghasilkan 1,000 biji kuih pau setiap hari untuk pasaran sekitar Butterworth.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan di sebuah kilang memproses bebola ikan, di sini, pemiliknya dikenakan lima kompaun selepas gagal memastikan pekerja menggunakan kelengkapan PPE ketika memproses makanan.

Tambah Mohd Wazir, kompaun turut dikeluarkan atas kesalahan produk tidak mempunyai label dan kesalahan meletakkan produk makanan di atas lantai.

Tiada label pada produk antara kesalahan dikenal pasti.

“Semua perkara ini telah diajar ketika mereka menjalani kursus serta latihan pengendalian makanan namun mereka masih gagal untuk mematuhinya.

“Dalam pemeriksaan yang dibuat, kita dapati produk yang dikeluarkan oleh kilang itu tidak mempunyai label sekali gus menyukarkan pencarian pemilik sekiranya pelanggan mengalami keracunan makanan,” kata beliau.

Pekerja turut dikesan tidak menggunakan PPE.

Operasi itu turut disertai Majlis Bandaraya Seberang Perai dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang. – MalaysiaGazette