Gabenor BNM
Nor Shamsiah Mohd Yunus

KUALA LUMPUR – Dasar gaji minimum perlu dilaksanakan dengan teratur untuk memastikan langkah itu akan menyokong pertumbuhan ekonomi selain tidak menambah tekanan inflasi kepada negara, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata ini perlu terutamanya apabila negara baru menghadapi pandemik COVID-19 dengan ketidaktentuan global yang semakin meningkat berikutan ketegangan geopolitik.

“Dalam situasi semasa, pelaksanaan kenaikan gaji minimum perlu mengambil kira pemulihan yang tidak sekata dalam industri.

“Apa yang perlu kita lakukan ialah mengurangkan gangguan dalam aspek ini. Kita perlu memberi sedikit masa kepada syarikat yang terjejas untuk menyesuaikan diri,” katanya pada sidang media secara maya sempena terbitan beberapa siri laporan BNM hari ini.

Laporan itu ialah Laporan Tahunan BNM 2021, Laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2021 serta Laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2021.

Nor Shamsiah berkata pendekatan secara berperingkat yang diumumkan oleh kerajaan akan turut  membantu menangani isu gaji minimum.

Bagaimanapun, katanya dari semasa ke semasa, gaji minimum perlu bertumpu untuk mengurangkan gangguan dalam pasaran kerja seperti pekerja berpindah kepada pekerjaan yang menawarkan gaji lebih tinggi.

“Oleh itu, apa yang lebih penting, perlu ada pelan hala tuju yang jelas dan telus supaya semua pihak yang terjejas, sama ada syarikat besar atau kecil, dapat merancang dengan sewajarnya untuk ke arah pemulihan,” katanya.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 daripada RM1,200 pada masa ini dan ini akan dilaksanakan di seluruh negara untuk syarikat tertentu berkuat kuasa 1 Mei, 2022.

— BERNAMA