Keadaan bumbung luar Istana Budaya kelihatan semakin rosak dan sekeliling cat semakin kusam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM , 18 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Keadaan bangunan ikonik, Istana Negara yang usang kerana tidak diselenggara dengan sempurna turut mendapat perhatian Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Menurut beliau, pihaknya telah memohon peruntukan bagi kerja-kerja penyelengaraan bangunan yang menempatkan panggung berprestij dan menjadi lokasi seni persembahan tempatan dan antarabangsa itu.

Nancy berkata, kementerian  cuba untuk mendapatkan peruntukan penyelenggaraan secepat mungkin kerana banyak pihak telah membuat tempahan untuk mengunakan Istana Budaya bagi pelbagai program persembahan.

“Insya-Allah kita telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan peruntukan tetapi kalau diluluskan pun akan melalui proses melibatkan kementerian lain.

“Bukan kita yang membuat tetapi ia dalam proses dan kementerian lain akan mengadakan tender dan semua itu ia mengambil masa. Kerja kita ialah untuk mengejar supaya dipercepatkan.

“Memang betul pun Istana Budaya perlu mempunyai satu infrastuktur yang mantap untuk kita ketengahkan produk-produk yang ada di situ nanti,” katanya.

Artikel berkaitan:

Jelas Nancy penyelenggaran bangunan ikonik tersebut sepatutnya dilakukan secara berterusan namun Covid-19 yang melanda negara dan seluruh dunia telah menyebabkan kerja-kerja tersebut tertangguh.

“Kita tahu kita menghadapi Covid-19 lebih dua tahun ia juga memberi kesan kepada kerja-kerja menyelenggara. Jadi itu di luar bidang kuasa kita tetapi tugas kita ialah memastikan proses ini kita mulakan dahulu.

“Kita telah maklumkan supaya diperbaiki atapnya, diperbaiki infrstuktur yang lain.  Tetapi proses itu datang daripada kementerian yang lain.  Mereka perlu adakan tender semua itu, tapi kita sudah mulakan,” jelas Nancy.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Nancy Shukri membuat gimik perasmian dengan memukul gong pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik dan Pemasaran Tourism Malaysia 2022-2026 di Four Seasons Hotel, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 30 MAC 2022.

Beliau ditemui selepas melancarkan Pelan Strategik Pelancongan Malaysia 2022 – 2026 dan Pelan Pemasaran Pelacongan Malaysia 2022 – 2026 di ibu negara hari ini.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan panggung berprestij yang terletak di Jalan Tun Razak itu seolah-olah seperti rumah kosong yang ditinggalkan.

Suasana terkini sekitar Istana Budaya bukan sahaja suram malah bangunan ikonik berbentuk sirih junjung itu juga mulai rosak teruk dan kelihatan usang terutamanya pada bahagian bumbung.

Sebilangan orang awam yang ditemui turut bersetuju Istana Budaya kini semakin hilang serinya.

Masing-masing melontarkan pendapat agar pihak-pihak berkaitan dapat melakukan sesuatu untuk mengembalikan semula kegemilangan Istana Budaya seperti sebelum ini.-MalaysiaGazette