Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Tanah rizab Melayu di 11 daerah di Pahang yang telah diwartakan di bawah Enakmen Rizab Melayu (ERM) sehingga 25 Februari lalu adalah seluas 436,910.47 hektar.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daerah Jerantut merekodkan pewartaan tanah rizab tertinggi iaitu sebanyak 96,734.35 hektar diikuti Maran (60,760.42 hektar), Temerloh (59,481.23 hektar) dan Lipis (56,825.79 hektar).

“Daerah Pekan  pula sebanyak 52,260 44 hektar, Bera (38,536.85 hektar), Kuantan (31,656,05 hektar), Rompin (19,355.32 hektar), Raub (13,582.37 hektar), Bentong (5,034.86 hektar) serta bagi Cameron Highlands pula sebanyak 2,682.79 hektar,” jelasnya.

Wan Rosdy berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Mustapa Long (BN- Padang Tengku) mengenai jumlah terkini keluasan tanah telah diwartakan sebagai tanah rizab Melayu di Pahang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini, hari ini.

Tambah Wan Rosdy, tanah rizab Melayu yang strategik dan berpotensi dari sudut ekonomi akan dibangunkan mengikut kesesuaian dan keperluan khususnya masyarakat Melayu setempat.

Katanya, contoh pelaksanaannya adalah melalui pembangunan Skim Tanah Rakyat (STR) yang merupakan satu bentuk pembangunan berkonsepkan Rancangan Tanah Kelompok (RTK).

“Tanah rizab Melayu yang dibangunkan sama ada dijadikan lot kediaman atau diusahakan dengan aktiviti pertanian dengan objektif untuk meningkatkan lagi taraf sosioekonomi masyarakat orang Melayu,” ujarnya.

Menurut Wan Rosdy, kerajaan negeri juga melaksanakan strategi serampang dua mata yang mana sesebuah kawasan tanah rizab Melayu bukan sahaja dibangunkan, malah keluasannya juga dapat ditingkatkan.

Jelasnya, seluas 7,814.37 hektar keluasan kawasan tanah rizab Melayu ditambah melalui STR. – MalaysiaGazette