Logo UiTM

KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah mengambil tindakan pantas terhadap seorang pensyarah yang mengeluarkan perkataan yang disifatkan menghina pelajar daripada golongan B40.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor menegaskan, universiti itu tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan nama baiknya secara sengaja mahupun tidak.

Katanya, UiTM diwujudkan bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan meneruskan pembelajaran di peringkat universiti dan sememangnya ia wajar membantu golongan B40.

“UiTM amat memahami kekangan, kesulitan dan situasi yang dihadapi oleh pelajar dalam menjalani proses pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian.

“Pihak universiti juga telah menyediakan pelbagai dana untuk kegunaan para pelajar yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan kemudahan pembelajaran seperti dana amanah pelajar, bantuan dari pusat zakat serta dari pihak alumni,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Justeru katanya, beliau menyeru kepada para pelajar yang berhadapan dengan sebarang masalah agar dapat berhubung dengan pihak fakulti dan universiti untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan yang sewajarnya bagi membantu melancarkan proses pembelajaran.

Tambahnya, dalam merealisasikan keberkesanan bagi pelaksanaan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian yang terbaik, semua pihak perlu berganding bahu dalam semua aspek.

Terdahulu hari ini, tular video seorang pensyarah memarahi pelajarnya kerana masih tidak memiliki komputer walaupun telah berada di semester kelima.

Dalam video yang tular itu, pensyarah berkenaan tahu kedudukan ekonomi keluarga pelajar berkenaan dari kumpulan B40.

Dia juga tahu ibu pelajar tersebut telah meninggal dunia manakala bapa pelajar berkenaan tidak mempunyai pekerjaan.

Sementara itu Roziah memaklumkan, rakaman yang ditularkan itu berlaku pada semester lepas dan bukan semalam.

Jelasnya, pensyarah terbabit merupakan kakitangan kontrak dan kini berkhidmat di UiTM Seri Iskandar, Perak dan pesara di universiti itu. – MalaysiaGazette

Pensyarah tidak simpati pelajar B40 tular di media sosial