Syed Anwar Jamalullail

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) merekodkan kutipan zakat sebanyak RM993 juta bagi tahun berakhir 31 Disember 2021, meningkat sebanyak sembilan peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata pada 2021, pihaknya juga telah mengagihkan zakat sebanyak RM922 juta kepada asnaf di seluruh Selangor berbanding RM867 juta pada 2020.

Beliau berkata jumlah agihan tersebut meningkat sebanyak enam peratus, dengan perbezaan sebanyak RM55 juta.

“Jumlah asnaf dalam kategori fakir dan miskin yang disantuni pada 2021 adalah sebanyak 69,011 keluarga. Peningkatan jumlah penerima zakat pada tahun itu disebabkan kesan COVID-19 yang menjejaskan pekerjaan dan pendapatan ramai individu.

“Sehubungan itu, inisiatif khusus telah dilaksanakan oleh LZS untuk membantu meringankan beban golongan rentan yang dikenal pasti pada masa ini,” katanya dalam satu sidang media secara maya hari ini.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Timbalan Pengerusi LZS Tan Sri Ambrin Buang dan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif LZS berkuat kuasa esok.

Syed Anwar berkata jumlah umat Islam yang menyumbang zakat juga meningkat kepada 364,778 tahun lepas berbanding 346,415 orang pada 2020.

Beliau berkata di bawah pembangunan masyarakat asnaf, agihan zakat diutamakan untuk program sosial, pendidikan dan institusi agama dengan jumlah agihan RM773 juta (2021) berbanding RM720 juta pada 2020.

Tambahnya, beliau turut menyasarkan kutipan zakat lebih RM1 bilion untuk tahun ini selain menambah baik mutu perkhidmatan kepada asnaf dan pengeluar zakat menerusi sistem operasi dan inisiatif digitalisasi.- BERNAMA