Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN- Kerajaan Pahang memeterai perjanjian dengan Alliance Steel (M) Sdn Bhd (ASSB) melibatkan pelaburan bernilai RM5 billion bagi projek fasa kedua pembesaran kilang seluas 101.2 hektar.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata,  perjanjian tersebut sekali gus merekodkan prestasi pelaburan memberangsangkan di negeri ini

Menurutnya, pembesaran kilang ASSB berteknologi tinggi dan serba moden ini akan dilengkapi gudang bahan mentah dan dijangka meningkatkan pengeluaran eksport utama negeri.

“Kapasiti pengeluaran produk besi dan keluli yang menjadi  antara produk perdagangan eksport utama Pahang dapat ditingkatkan daripada 3.5 juta tan kepada 10 juta tan setahun dengan penambahan produk plat keluli.

“Projek ini bakal menyediakan 3,000 peluang pekerjaan dengan 80 peratus daripadanya adalah untuk rakyat tempatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Wan Rosdy, ASSB merupakan pelabur pertama di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan merupakan kilang keluli pertama di Asia Tenggara yang mengadaptasi teknologi proses lengkap dalam pembuatan, pengeluaran besi serta keluli.

Terdahulu beliau turut menyaksikan perjanjian yang dimeterai antara Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Dr Sallehuddin Ishak dengan Ketua Pegawai Eksekutif ASSB, Steve Hujiulin di Wisma Sri hari ini.

Kerajaan  Pahang telah memeterai perjanjian akhir pelaburan luar negara bernilai RM5.5 bilion dengan enam syarikat pelaburan dari Singapura, China, Thailand dan Korea Selatan pada 18 Februari lalu.

Pada tahun 2021, Pahang telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM 10.5 bilion di mana RM987 juta daripada pelaburan domestik dan RM9.8 bilion daripada pelaburan antarabangsa. – MalaysiaGazette