Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Datuk Azmi Abu Kassim melawat ruang menderma darah pada Majlis Perasmian Kempen Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis ke-215 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 31 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Pengusaha bas dan van sekolah diminta meletakkan tanda tertentu di kenderaan masing-masing supaya ia dapat dikenali bagi mengelak kejadian ‘kehilangan’ murid seperti semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, ia perlu dilakukan bagi mengelak murid-murid tersalah menaiki bas atau van.

“Maklumlah kita ni sudah lama dalam pandemik (Covid-19), pelajar belajar dari rumah, jadi mungkin sekarang sudah mula kembali dan ramai yang datang ke sekolah.

“Mungkin ada kekeliruan di situ khususnya kepada anak-anak yang baru pertama kali pergi ke sekolah.

“Mungkin disebabkan kekhilafan itu ia terjadi kepada seorang kanak-kanak semalam. Jadi kita harap akan ada pendekatan yang lebih baik untuk anak-anak agar tidak lagi tersalah bas atau ikut kawan-kawan dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kempen Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis ke-215 Peringkat Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Semalam, seorang murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Midah 1 di sini dilaporkan hilang selepas pulang dari sekolah.

Kanak-kanak itu kemudiannya ditemui selamat oleh penduduk di sebuah kondominium di Pudu pukul 9.30 malam tadi selepas tersalah menaiki sebuah van sekolah.

Selain itu, menurut Azmi, sepanjang Ramadan, polis bukan sahaja memantau masjid, surau dan bazar Ramadan tetapi juga pasar raya bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi.

Malah beliau telah mengeluarkan arahan supaya disediakan bilangan pegawai bagi tujuan berkenaan.

“Kita akan memastikan masyarakat khususnya warga Kuala Lumpur terus patuh SOP, jaga penjarakan dan pakai pelitup muka.

“Mungkin bermula 1 April ini nanti satu SOP baharu akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamtaan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Jadi kita akan menguatkusakan apa juga yang menjadi saranan ataupun SOP yang ditetapkan oleh pihak-pihak berkuasa,” katanya

Semalam, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat memaklumkan, Pegawai Perhubungan Masjid dalam kalangan anggota polis akan ditempatkan di masjid dan surau terpilih di Kelantan bagi memantau jemaah yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang Ramadan.

Beliau telah mengarahkan ketua balai polis dan ketua polis daerah untuk bersama-sama masyarakat dalam mengimarahkan masjid pada Ramadan kali ini dan pada masa yang sama memantau keadaan semasa. – MalaysiaGazette