Thursday, December 12, 2024
Home Utama Penyanyi nasyid mengaku tidak bersalah tanam 17 pokok ganja

Penyanyi nasyid mengaku tidak bersalah tanam 17 pokok ganja

Bekas penyanyi nasyid dan Komposer, Yassin Sulaiman dibawa keluar oleh anggota polis selepas mengaku tidak bersalah atas kesalahan menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Kota Damansara ketika di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 31 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Kota Damansara pada 21 Mac lalu.

Yasin, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, Yasin pada 24 Mac 2022, kira-kira 5.30 petang di kediamannya di Kota Damansara telah menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di mana ganja boleh diperoleh sama ada secara terus atau tidak langsung.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) Akta yang sama.

Akta itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang enam sebatan.

Sebelum itu, tertuduh yang memakai baju t-shirt serba hitam, berselendang biru di leher, berseluar kelabu dan hanya memakai selipar tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini kira-kira jam 10 pagi tadi dengan kawalan ketat pihak polis.

Terdahulu Pengarah Pendakwaan Selangor, Mohammad Al-Saifi Hashim dalam hujahannya memohon mahkamah untuk tidak menawarkan sebarang jaminan kerana Seksyen 41(B) Akta Dadah Berbahaya tidak membenarkan jaminan dibuat ke atas kes dengan hukuman mati.

Bagaimanapun peguam Yusmadi Yusoff dalam hujahan memohon jaminan diberikan kerana anak guamnya masih trauma akibat perceraian, mempunyai tanggungan dua anak yang masih bersekolah dan ibu bapa yang uzur.

Yusmadi juga bertegas agar Yasin diberikan jaminan yang bersesuaian termasuk dua penjamin kerana anak guamnya memerlukan rawatan hospital dengan segera kerana menghidap penyakit bipolar atau masalah mental yang serius.

Tambahnya, kenyataan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dalam sidang medianya sebelum ini mengakui tertuduh tidak terlibat dalam pengedaran dan penjualan kerana ganja yang ditemui di kediamannya itu untuk kegunaan sendiri.

Bagaimanapun pihak pendakwaan mempersoalkan hujahan pembelaan yang menggunakan petikan akhbar sedangkan kenyataan pihak polis itu tidak dibuat secara akuan bersumpah di mahkamah.

Setelah mempertimbangkan hujahan pendakwaan dan pembelaan, mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan mengarahkan pembelaan membuat permohonan untuk rawatan hospital anak guamnya itu.

Mahkamah juga menetapkan 18 Mei 2022 untuk sebagai tarikh sebutan kes bagi pengurusan laporan kimia daripada pihak pendakwaan.

Pada 24 Mac lalu, pasukan polis yang menyerbu kediaman penyanyi tersebut berjaya menemukan 17 batang pokok ganja yang ditanam dalam pasu di salah sebuah bilik, balkoni dan almari baju.

Polis turut menemui dua plastik berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 214 gram, cecair pemusnah serangga, alat pengukur kandungan PH air, alat penyukat suhu, lampu, alat menyiram tanaman dan alat pengudaraan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast