PETALING JAYA – Peguam kepada bekas penyanyi nasyid, Muhammad Yasin Sulaiman melahirkan kebimbangan apabila anak guamnya masih tidak mendapat rawatan penyakit mental sejak ditahan reman pada 24 Mac lalu.
Yusmadi Yusoff berkata, perkara itu mendapat perhatian mahkamah setelah ia turut menjadi antara hujahan pembelaan bagi memohon tertuduh diikat jamin kerana masalah kesihatan itu.
“Sehingga ke hari ini sejak ditahan (Yasin) belum dapat rawatan, saya sendiri dan pihak keluarga sudah maklum kepada pihak polis.
“Sebab itu bila pegawai polis mengatakan saya perlu tarik perhatian mahkamah, sebab itu mahkamah beri arahan untuk beri rawatan sewajarnya.
“Bagi saya sepatutnya selesaikan dahulu soal perubatan beliau, kena lengkapkan (rawatan kesihatan),” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya hari ini.
Terdahulu Yasin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Kota Damansara pada 24 Mac lalu.
Selain itu tiada pengakuan direkodkan terhadap seorang bekas penyanyi kumpulan nasyid itu selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedarkan dadah jenis ganja seberat 214 gram pada 24 Mac lalu.
Sebelum itu, Yasin yang memakai baju t-shirt serba hitam, berselendang biru di leher, berseluar kelabu dan hanya memakai selipar tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini kira-kira jam 10 pagi tadi dengan kawalan ketat pihak polis.
Sementara itu, Yusmadi melahirkan rasa kesal apabila anak guamnya yang sepatutnya dilanjutkan perintah reman hari ini bertukar kepada pendakwaan.
“Sepatutnya hari ini lanjutan (reman) tapi saya dikejutkan sebab kita bersedia untuk lanjutan reman itu dimaklumkan.
“Cuma baru semalam baru kelam kabut. Bagi saya itu budi bicara pendakwaraya yang di luar bidang kuasa saya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: