Antara ahli keluarga bekas penyanyi nasyid dan Komposer, Yassin Sulaiman yang hadir untuk mendengar kes atas kesalahan menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Kota Damansara ketika di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 31 MAC 2022.

PETALING JAYA – Keluarga bekas penyanyi nasyid dan komposer terkenal berharap Muhammad Yasin Sulaiman terlepas daripada hukuman berat atas dua dakwaan terhadapnya berkaitan ganja.

Abang kandungnya, Zain Sulaiman berkata, prosiding dua kes yang dihadapi adiknya hari ini berjalan dengan lancar dan berharap adiknya dapat kembali ke pangkuan keluarga dengan kadar segera.

“Kita mendoakan semoga Allah permudahkan segalanya.

“Anak-anak letak harapan tinggi, mereka kuat (semangat), mereka semua tunggu dia (Yasin) pulang,” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya hari ini.

Terdahulu Yasin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Kota Damansara pada 24 Mac lalu.

Selain itu tiada pengakuan direkodkan terhadap seorang bekas penyanyi kumpulan nasyid itu selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedarkan dadah jenis ganja seberat 214 gram, 24 Mac lalu.

Terdahulu, Yasin yang memakai baju t-shirt serba hitam, berselendang biru di leher, berseluar kelabu dan hanya memakai selipar tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini kira-kira jam 10 pagi tadi dengan kawalan ketat pihak polis.

Sementara itu, peguam Yusmadi Yusoff memuji sikap yang ditunjukkan ahli keluarga dan rakan-rakan tertuduh yang tidak putus memberi sokongan moral kepada juara Anugerah Juara Lagu (AJL) 2001.

Peguam, Yusmadi Yusoff.  Foto MOHD ADZLAN, 31 MAC 2022.

“Sokongan moral daripada keluarga sangat baik. Kita doakan sama-sama, keluarga malah kawan-kawan juga menyokong.

“Hari ini saya ucap terima kasih kerana kawan-kawan datang kerana beliau tiada rekod negatif dan beliau seorang yang banyak memberi inspirasi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya khuatir crack tiga kali, takut gila seperti sebelum ini – Yasin