Dua sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas membunuh seorang gelandangan bulan lalu.

MELAKA – Dua sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang gelandangan bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, Muhammad Aliff Daniel Ong Abdullah dan Joel V Michael Louis masing-masing berusia 20 tahun selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama didakwa melakukan bunuh sehingga menyebabkan kematian Mohd Eddie Hafiez Yusof, 42.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan kedai, Jalan Persisiran Bungai Raya, dalam daerah Melaka Tengah di sini di antara pukul 1 hingga 3.45 pagi 15 Mac lalu.

Kedua-dua tertuduh yang kelihatan tenang di kandang tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon tarikh sebutan semula bagi serahan laporan bedah siasat.

Peguam Andrew Lourdes yang mewakili Muhammad Aliff dan Amritpal Singh mewakili Joel bagaimanapun merayu agar mahkamah dapat memberikan tarikh sebutan yang singkat bagi memendekkan tempoh penahanan.

Kedua-dua turut merayu agar kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dalam kadar segera dengan alasan pihak polis tidak membenarkan peguam bela berjumpa dengan tertuduh sejak direman.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 26 April ini untuk serahan laporan bedah siasat.

MalaysiaGazette pada 15 Mac lalu melaporkan seorang lelaki gelandangan parah selepas dipercayai dipukul dalam kejadian di hadapan sebuah bangunan kedai di Jalan Pesisiran Bunga Raya.

Mangsa ditemukan orang awam dalam keadaan berlumuran darah di kaki lima bangunan terbabit kira-kira pukul 7.20 pagi dalam keadaan masih bernyawa dengan beberapa kesan darah akibat kecederaan termasuk di muka.

Mangsa yang koma susulan mengalami kecederaan pendarahan dalam kepala, bibir koyak selain organ dalam perut turut pecah, kemudian meninggal dunia pada 18 Mac lalu.- MalaysiaGazette