Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah flood victims Covid-19 positive infectious diseases
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Bermula hari ini, negara memasuki fasa peralihan ke endemik, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, peralihan itu dicapai susulan kejayaan program vaksinasi Covid-19 dan sistem perkhidmatan kesihatan yang berada pada tahap terkawal.

Namun, kata beliau, pengisytiharan kawasan jangkitan tempatan masih lagi dikuatkuasakan di seluruh negara di bawah Seksyen 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sehingga 30 Jun ini.

Selain penguatkuasaan Akta 342 dalam tempoh fasa peralihan ini, langkah kawalan dan pencegahan juga dilaksanakan di bawah peruntukan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (Fasa Peralihan Ke Endemik) 2022 yang telah diwartakan pada 31 Mac ini.

“Protokol dan arahan pencegahan serta kawalan tersebut diperincikan dalam SOP yang dikuatkuasakan mulai hari ini.

“SOP telah dipermudahkan daripada 181 SOP PPN ini disokong oleh sembilan garis panduan yang menjelaskan risiko jangkitan, penilaian risiko serta tindakan pencegahan yang perlu diambil oleh individu, pengembara, majikan dan pihak bertanggungjawab ke atas premis,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, antara SOP itu ialah memakai pelitup muka di tempat awam, menguruskan kes yang disyaki atau disahkan mengikut garis panduan KKM, menjaga penjarakan fizikal sekiranya boleh.

Seterusnya, memastikan pengudaraan dan sistem ventilasi yang baik, menjaga kebersihan tangan, memastikan kebersihan premis, melakukan ujian pengesanan Covid-19 berdasarkan National Testing Strategy (NTS).

SOP juga mencakupi mematuhi keperluan vaksinasi untuk aktiviti tertentu, memastikan waktu operasi mengikut ketetapan lesen atau permit yang dibenarkan dan menggunakan check-in MySejahtera atau MySejahtera Trace untuk membantu pengesanan kontak.

“Sebagaimana sedia maklum, kadar kebolehjangkitan varian Omicron adalah lebih tinggi berbanding varian Delta dan kebanyakan pesakit mengalami gejala lebih ringan, di mana jumlah kes dengan komplikasi teruk adalah rendah.

“Keadaan ini disumbangkan oleh tahap imuniti yang tinggi terhadap virus SARS-CoV-2 pada seseorang hasil daripada vaksinasi Covid-19 atau imuniti semulajadi selepas jangkitan Covid-19.

“Berbanding gelombang varian Delta yang berlaku dari penghujung Jun 2021 hingga Oktober 2021, gelombang varian Omicron yang bermula dari Januari lalu hingga kini menunjukkan kadar kematian, kemasukan ke ICU dan penggunaan alat bantuan pernafasan lebih rendah meskipun terdapat peningkatan jumlah pada kes harian,” kata beliau.

Berhubung persediaan memasuki fasa endemik, Dr. Noor Hisham menjelaskan, masyarakat perlu belajar untuk hidup bersama virus Covid-19 dalam keadaan yang paling kurang mengganggu kehidupan harian dengan mengamalkan langkah kesihatan awam bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat.

Katanya, pengurusan pandemik Covid-19 perlu beralih daripada kebergantungan kepada intervensi kerajaan seperti SOP dan undang-undang kepada keprihatinan kerajaan, tanggungjawab individu dan solidariti komuniti. – MalaysiaGazette