Polis rampas syabu seberat 21.2 kg dalam bot milik nelayan tempatan di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Cubaan seorang nelayan tempatan menyeludup masuk dadah jenis syabu bernilai RM756,720 ke negeri ini gagal apabila dia diberkas sepasukan polis di Pantai Tanjung Asam, Teluk Kumbar pada Selasa lalu.

Serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya dan Pasukan Polis Marin Wilayah Satu pada jam 11 malam itu membawa kepada penemuan 21.2 kilogram syabu yang disembunyikan dalam bot tersebut.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, nelayan berusia 35 tahun itu ditahan dalam serbuan pertama sebelum pihaknya menahan seorang mekanik yang dipercayai ahli sindiket.

“Mekanik warga asing berusia 44 tahun itu ditahan di kawasan berhampiran pada jam 1 pagi namun tiada sebarang dadah ditemui dalam milikannya.

Mohd Shuhaily (tengah) mengadakan sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

“Sindiket itu bergiat aktif sejak awal tahun ini dan kita percaya dadah berkenaan dibawa masuk dari negara jiran bagi pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Turut disita ialah sebuah kenderaan bernilai RM10,000 yang mana keseluruhan rampasan dadah termasuk sitaan berjumlah RM766,720.

Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, ujian saringan air kencing mendapati seorang daripadanya positif methamphetamine selain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 4 April bagi membantu siasatan.

“Keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 105,100 penagih dadah,” kata Mohd Shuhaily. – MalaysiaGazettel