Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang melakukan upacara pemeriksaan barisan pada Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) tahun 2021 di Kem Perdana Sg Besi, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 02 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) — Blok tambahan dan beberapa kerja pengubahsuaian Maktab Tentera Diraja Malaysia (MTD) yang dilengkapi dengan kompleks logistik dan senggara, kumpulan kenderaan, stor senjata dan laman niaga, dijangka siap pertengahan tahun hadapan.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang berkata Kementerian Pertahanan telah meluluskan peruntukan, bagi projek pengubahsuaian dan pembinaan blok tambahan MTD berkenaan yang bernilai hampir RM11 juta.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang memberi tabik hormat semasa hadir ke Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) tahun 2021 di Kem Perdana Sg Besi, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 02 APRIL 2022.

Katanya kerja-kerja pelaksanaan projek tersebut, telah bermula pada 15 Dis lepas dan dijangka siap sepenuhnya 14 Jun tahun hadapan.

Menurutnya menerusi peruntukan itu, MTD juga bakal dilengkapi dengan fasiliti sirkit merentas halangan, menara turun cerunan dan terbang kelawar (Flying Fox) yang baharu.

“Pembinaan sirkit dan menara berkenaan telah diluluskan dan kini dalam proses reka bentuk oleh Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP),” katanya kepada sidang media, selepas Majlis Perbarisan Tahunan Putera MTD di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Mengenai kuota kemasukan putera MTD ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Affendi berkata setakat ini ia kekal pada kadar 40 peratus, bagi membuka ruang kepada penuntut MTD melanjutkan pelajaran, seterusnya menyertai perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata kemasukan ke MTD juga kekal hanya untuk pelajar Tingkatan Empat dan Lima dan tiada cadangan membuat pengambilan kemasukan pelatih dari Tingkat 1 hingga Tingkatan 3.

“Kita telah menjalani beberapa evolusi pengambilan penuntut dan sebelum ini ada dibuat pengambilan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3, tetapi kita mendapati corak pembelajaran (ketenteran) ini lebih sesuai kalau penuntut lebih berumur,” jelasnya.

Hari ini seramai 223 penuntut Tingkatan 5 MTD yang dikenali sebagai ’Putera’ ataupun ‘Boy’ berjaya menamatkan pengajian dengan penuntut Mohd Jasim Abdul Aziz muncul sebagai Putera terbaik dan memenangi Anugerah Menteri Pertahanan.- BERNAMA