Temubual ekslusif SkopMG bersama Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli di Studio MG, Sungai Besi, Kuala Lumpur. . Foto MUHD NA'IM, 01 APRIL 2022.
Temubual ekslusif SkopMG bersama Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli di Studio MG, Sungai Besi, Kuala Lumpur. . Foto MUHD NA'IM, 01 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengakui dirinya seronok melihat ahli dan kepimpinan UMNO yang kurang senang dengan kembalinya ke bidang politik.

Menurut beliau, ada mereka di dalam UMNO ‘melompat’ apabila beliau mengumumkan akan kembali aktif dalam politik dan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.

“Saya sebenarnya seronok melihat reaksi daripada orang UMNO sejak dua minggu lepas.

“Tengok macam mana admin Facebok Datuk Seri Najib (Razak) bekerja keras kerana pandangan saya setakat ini mereka masih belum belajar daripada kesilapan yang mereka buat sehingga membuatkan mereka kalah dalam PRU-14 lalu,” katanya dalam temubual khas SkopMG berjudul Saya Kembali Demi Rakyat semalam.

Sebelum ini, perang mulut antara Rafizi dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih berterusan di media sosial.

Ia apabila Rafizi bertikam lidah dengan Najib di media sosial mengenai kemelut kewangan Sapura Energy selain gaji lumayan bekas ketua pegawai eksekutif firma itu.

Rafizi berkata, Najib ketika itu juga gagal menjaga kepentingan institusi awam seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) sebagai pemegang saham dalam Sapura Energy.

Dalam pada, Najib menafikan dakwaan Rafizi di mana Sapura Engery pada 2019 tidak terletak dibawah pengawasan dan pengawalan semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu,  Rafizi juga mendakwa beliau merupakan pengkritik kepada kegagalan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini malah lebih lantang daripada ahli-ahli UMNO sendiri.

“Pengundi di luar sana faham bahawa saya tidak terlibat dalam kerajaan PH (Pakatan Harapan) malah saya beri suara yang lebih lantang berbanding dengan UMNO dalam mengkritik kelemahan kerajaan PH ketika itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette