Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membeli juadah berbuka puasa ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette selepas Malaysia beralih ke fasa endemik di sekitar Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 APRIL 2022

KUALA LUMPUR – Bazar Ramadhan kembali meriah selepas kerajaan mengumumkan fasa peralihan ke endemik pada 1 April lalu.

Tinjauan MalaysiaGazette di Bazar Ramadhan Kampung Baru mendapati, orang ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi bazar di sini, hari ini.

Seorang kakitangan Hospital Kuala Lumpur, Abdul Hafiz Abdullani ketika bercakap kepada MalaysiaGazette dalam tinjauan hari pertama di Bazar Ramadan Kampung Baru, Kuala Lumpur, hari ini.

Seorang kakitangan Hospital Kuala Lumpur, Abdul Hafiz Abdullani, 27, menganggap bazar Ramadan yang dibenarkan beroperasi tahun ini adalah hasil kejayaan program vaksinasi negara.

“Saya setuju dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan sebelum ini, memang sebab program vaksin yang buat kita berjaya endemik hingga banyak dilonggarkan sampai bazar pun dah buka semula,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, hari ini.

Tambahnya, penghargaan juga perlu diberikan kepada mereka yang telah divaksin kerana kelonggaran kerajaan hari ini merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak.

“Tahniah saya ucapkan untuk yang sudah vaksin sebab merekalah yang buat kita berjaya capai endemik sehingga kini,” katanya yang membeli nasi berlauk dan air nira sebagai juadah berbuka puasa, hari ini.

Sementara itu, peniaga kuih-muih, Rizal Osman, 49, pula berpendapat prosedur operasi standard (SOP) adalah terkawal dengan semua pengunjung memakai pelitup muka.

“Dari segi SOP, saya tengok semua pakai pelitup muka tapi penjarakan fizikal saja yang nampak terbatas seperti tiada kawalan,” ulasnya.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim memaklumkan sebanyak 72 lokasi bazar Ramadan membabitkan 5,000 gerai akan beroperasi di sekitar ibu kota sepanjang bulan Ramadan ini. – MalaysiaGazette