Rakyat digalakkan kawal kalori dengan mengamalkan pemakanan yang sederhana dan seimbang dengan mengikut konsep Suku Suku Separuh ketika bersahur dan berbuka.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan rakyat negara ini menitik beratkan aspek pemakanan yang sihat bagi memenuhi keperluan tenaga sepanjang berpuasa.

Peringatan itu disampaikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini, bagi memastikan tahap kesihatan rakyat berada pada tahap yang optimum.

“Tahun ini merupakan tahun ketiga umat Islam menyambut Ramadan dalam suasana pandemik Covid-19 sejak ia melanda dunia.

“Bagi warga Malaysia, sudah tentu Ramadan kali ini amat bermakna memandangkan negara telah memasuki fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu.

“Pada bulan yang mulia ini, KKM ingin mengingatkan warga Malaysia supaya menitik beratkan aspek pemakanan yang sihat bagi memenuhi keperluan tenaga sepanjang berpuasa,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Dr. Noor Hisham Abdullah

Menurut Dr. Noor Hisham, antara amalan pemakanan sihat di bulan Ramadan ialah mengambil makanan berkhasiat yang dapat membekalkan tenaga dan nutrien yang diperlukan badan dengan kadar sederhana ketika bersahur.

Katanya, mengawal kalori dengan mengamalkan pemakanan yang sederhana dan seimbang dengan mengikut konsep ‘Suku Suku Separuh’ ketika bersahur dan berbuka bagi mengelakkan peningkatan berat badan berlebihan, obesiti dan mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit.

“Suku pinggan daripada kumpulan karbohidrat seperti nasi, roti atau mi, suku pinggan lagi daripada sumber protein seperti ayam, ikan dan telur, manakala separuh pinggan lagi sayur dan buah.

“Ambil makanan yang tinggi serat seperti buah dan sayur bagi mengoptimumkan sistem imuniti badan.

“Pengambilan sayur dan buah setiap hari di bulan puasa juga penting untuk mengelakkan kejadian sembelit, mengelakkan dari mudah dijangkiti penyakit dan membantu memberi rasa kenyang lebih lama,” katanya.

Beliau tidak menggalakkan rakyat mengambil minuman berkafein seperti teh dan kopi yang boleh menyebabkan kehilangan air dalam badan.

Sebaliknya, digalakkan minum lapan gelas atau dua liter air antara waktu berbuka hingga ke waktu sahur, termasuk membawa bekal air kosong ketika menunaikan solat sunat Tarawih.

“Mengambil makanan ringkas terlebih dahulu seperti kurma dan air kosong seterusnya hidangan berat selepas bersolat Maghrib. Moreh boleh diambil jika perlu, tetapi elakkan mengambilnya dalam kuantiti yang besar.

“Hadkan pengambilan makanan yang tinggi gula seperti kuih-muih manis, bubur manis dan minuman manis dalam kuantiti yang berlebihan serta kurangkan pengambilan makanan yang berlemak, berminyak dan masin,” katanya.

Beliau juga mengingatkan rakyat Malaysia, mengutamakan makanan yang disediakan dan masak di rumah dengan mempelbagaikan kaedah masakan lebih sihat seperti bakar, kukus, panggang dan rebus.

Makanan yang disediakan sendiri bukan sahaja lebih sihat, malah menjimatkan dan kebersihan juga terjamin.

Di samping itu, bulan Ramadan juga merupakan bulan yang dinanti-nantikan oleh peniaga makanan terutama peniaga bazar Ramadan bagi menyajikan pelbagai aneka jualan makanan dan minuman.

KKM ingin mengingatkan masyarakat agar terus mematuhi SOP dan mengamalkan norma baharu semasa membeli makanan demi memastikan rantaian jangkitan Covid-19 ini dapat diputuskan.

KKM juga menasihati peniaga supaya sentiasa menitik beratkan aspek kebersihan serta keselamatan makanan dan minuman yang dijual bagi mengelakkan kes keracunan makanan.

Keracunan makanan, kata beliau, adalah penyakit disebabkan pengambilan makanan atau minuman tercemar oleh toksin yang terhasil daripada bakteria, virus atau parasit.

Kata beliau, kes keracunan makanan ini tidak boleh dipandang enteng kerana ianya boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan dan seterusnya mengancam nyawa. – MalaysiaGazette