Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid (kanan) menyampaikan kad kesihatan warga emas kepada 450 penerima di Dewan Badminton Cenderawasih Timur, Kuantan, Pahang.

KUANTAN – Pemilik kad kesihatan warga emas di Pahang disifatkan beruntung kerana diberikan perlindungan oleh kerajaan negeri dalam usaha menjaga kebajikan golongan itu.

Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid berkata, kad bernilai RM500 itu diharap membantu meringankan beban 450 warga emas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu.

“Bagi pihak warga emas, inisiatif yang diberikan Kerajaan Pahang melalui keprihatinan YAB Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail amat dihargai.

“Ia membuktikan kerajaan negeri mempunyai ekonomi dan politik yang stabil di samping mengambil berat dalam menjaga kebajikan kalangan warga emas terutama tahap kesihatan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas menyampaikan Kad Kesihatan Warga Emas di Dewan Badminton Cenderawasih Timur, semalam.

Difahamkan pemberian Kad Kesihatan Warga Emas Pahang memberi manfaat kepada 18,000 orang.

Kad itu juga dikenali Kad Kesihatan Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kasih) dan boleh digunakan di klinik swasta seluruh negeri yang dilantik sebagai panel di bawah program tersebut.

Melalui pelan kad tersebut, pemegang kad memenuhi syarat dan berkelayakan boleh menerima rawatan prosedur am dan rawatan awal di klinik panel yang dilantik.

Sebanyak 50 klinik swasta telah dikenal pasti dan dilantik sebagai panel seluruh negeri bagi memudahkan pemegang kad itu mendapat rawatan di klinik berhampiran. – MalaysiaGazette