Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Keadaan jangkitan Covid-19 berada dalam keadaan terkawal dengan menunjukkan trend penurunan.

Sebanyak 14,692 kes jangkitan baharu dilaporkan semalam berbanding 17,476 kes sebelum itu, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 4,234,087 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes sembuh pula mencatatkan 20,383 kes, dengan jumlah kumulatif sebanyak 3,997,786 kes.

Daripada 14,692 kes jangkitan baharu semalam, terdapat 218 kes import melibatkan 209 warganegara dan sembilan bukan warganegara.

Kes tempatan pula sebanyak 14,474 kes iaitu 13,835 warganegara dan 639 bukan warganegara, ujarnya.

“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 261 kes iaitu 124 kes disahkan Covid-19, 137 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Kes memerlukan bantuan pernafasan ialah 153 kes iaitu 64 kes disahkan Covid-19, 89 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Dr. Noor Hisham turut memperincikan kategori kes Covid-19, iaitu daripada 14,692 kes harian yang dilaporkan semalam, kategori 1 sebanyak 8,557 kes, diikuti kategori 2 (6,056 kes), kategori 3 (27 kes), kategori 4 (19 kes) dan kategori 5 (33 kes).

Menurutnya, daripada 79 kes kategori 3, 4, dan 5 yang baharu dilaporkan semalam, 19 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 42 kes telah menerima dua dos vaksin, tetapi belum menerima dos penggalak, 18 kes telah menerima dos penggalak, 46 kes berumur 60 tahun dan ke atas serta 42 kes mempunyai komorbid. – MalaysiaGazette